fbpx

‘Kita RM45,000, Korea Selatan RM1 juta’ – Nazim Othman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAZIM OTHMAN

GOLONGAN selebriti menjalani kehidupan bukan sekadar bersimbahkan cahaya populariti semata-mata, apa sahaja yang meletus dari bibir mereka, jenis penampilan yang digayakan dan kendatipun hanya berdiam diri, pasti akan memercikkan sesuatu kepada masyarakat.

Kenyataan itu mungkin kedengaran sedikit klise tapi benarlah kata orang, ada harga yang perlu dibayar untuk satu bentuk kemasyhuran.

Tidak ramai yang cakna akan perkara tersebut. Pada masa sama, tidak ramai dalam kalangan satu kelompok bernama peminat mengerti bahawa mereka yang dipuja itu juga manusia biasa yang mustahil bebas daripada sebarang kekhilafan.

Saat tulisan ini dinukilkan, masih bertualang sensasi dan kontroversi anak seni yang belum terbuka hati untuk diberi vaksin Covid-19. Bukan ingin terus menyemarakkan amarah dengan perkara yang mudah menjemput perhatian netizen tersebut, namun ada beberapa perihal yang ingin dilontarkan empunya wajah penghias sampul hadapan Pose minggu ini, Nazim Othman.

‘Saya tiada hak’

“Saya tiada hak untuk memberi ulasan tentang segelintir pemain dalam industri seni tanah air kita yang enggan divaksin. Apatah lagi setelah pihak kerajaan sendiri mengatakan bahawa vaksin Covid-19 bukan satu kewajiban.

“Golongan ini pastinya mempunyai sebab-sebab peribadi tersendiri yang membuatkan mereka berkeras menolak vaksin. Saya pasti mereka sedar mengenai kesan pendirian tersebut terhadap kerjaya masing-masing secara amnya dan kesihatan secara khusus,” ujar pemilik nama lengkap Nushrul Alif Othman itu membuka mukadimah bicara.

NAZIM berasakan dia tiada hak untuk berbicara lebih tentang keputusan sesetengah rakan seangkatannya dalam industri yang enggan menerima suntikan vaksin. 

Sungguh, sebenarnya ramai dalam kalangan kita yang sewenang-wenangnya mengambil pendekatan ‘pukul rata’ dalam soal tersebut dengan membelakangi realiti di sebalik tindakan yang ditonjolkan beberapa pemain seni kita.

Pun begitu, adalah menjadi satu taakulan wajar untuk mereka yang bergelar selebriti berfikir sedalam-dalamnya sebelum berkongsi sebarang pendapat dalam ruang media sosial andai tidak mahu disalah erti. Sebab apa? Bak kata orang putih, opinion carries a lot of weight (pendapat sangat berpengaruh) terutama apabila datang daripada bibir orang terkenal.

Meninggalkan isu tersebut sedikit di belakang, Nazim ketika ditebak pertanyaan bagaimana pola kehidupannya sekarang terutama selepas ditampar realiti pandemik Covid-19 berkata, dia bersyukur dengan apa sahaja yang dikurniakan Tuhan kepadanya.

Kata Nazim, dia kini berasa lebih tenang memberi fokus terhadap kerjaya yang masih lancar. Ketenangan yang dirasakannya sekarang adalah salah satu bentuk kebahagiaan sebenar.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada-Nya atas rezeki kesihatan fizikal dan mental yang baik meskipun peperangan menentang pandemik Covid-19 masih belum berpenghujung.

“Dari sudut ekonomi pula, fasa pertama pandemik pada awal tahun 2020 sedikit sebanyak telah merencatkan kelancaran kerjaya yang secara tidak langsung mengganggu pendapatan, namun saya banyak belajar daripada tempoh itu untuk lebih berhati-hati dalam aspek pengurusan kewangan.

“Jadi dari situ ke fasa seterusnya, saya masih mampu meneruskan kehidupan dengan tenang,” tuturnya cermat.

Kru penerbitan, mereka pejuang

Kata Nazim lagi, dia tidak mahu bersikap mementingkan diri kerana baginya atas nama empati sebagai manusia, sekiranya dia merasakan dihempap kesusahan yang teruk, ada lagi orang lain yang lebih terkesan dengan apa yang berlaku.

Dalam bidang seni, ramai pemainnya terkesan terutama yang bekerja di belakang tabir. Hal ini kerana, golongan selebriti yang disayangi peminat mungkin boleh menebuk punca rezeki atas kuasa populariti, namun tidak bagi kru teknikal dan sebagainya.

DEDAH Nazim, dalam tempoh 2013 hingga 2015, lebih kurang 10 buah tawaran projek filem terpaksa ditolaknya kerana merasakan diri belum cukup bersedia untuk beraksi di layar perak.

“Bidang seni mempunyai ruang lingkup yang besar. Di sebalik nama-nama figura umum yang sering menjadi sebutan, terdapat sejumlah besar golongan kru penerbitan sesebuah program televisyen.

“Mereka ini pejuang-pejuang yang saya kira paling terkesan terutamanya pada peringkat awal pandemik apabila kesemua proses penerbitan rancangan televisyen terpaksa ditunda.

“Selain itu, situasi pandemik ini sedikit sebanyak telah menyekat kebebasan berkarya seiring garis panduan keselamatan. Itu antara cabaran yang tidak terlihat oleh orang luar,” kata Nazim, 37.

Berbicara tentang kematangan dan kemajuan produk seni tempatan yang sepertinya masih jauh ketinggalan kalau dibandingkan dengan ‘gergasi’ Asia seperti Korea Selatan yang kian mara maju, Nazim mengomel panjang. Squid Game, BTS mahupun Blackpink, semua itu kejayaan membanggakan industri K-pop yang perlu dicontohi.

“Dalam konteks ini, ada beberapa aspek yang membuatkan karya-karya terbitan negara itu (Korea Selatan) tampak jauh lebih gah. Salah satunya adalah soal bajet.

‘Kita masih di belakang’

“Sebagai contoh, kos untuk menerbitkan satu episod dalam sesebuah drama siri di Malaysia nilainya lebih kurang RM 45,000 tetapi bajet untuk tujuan serupa karya Korea Selatan mampu mencecah RM1 juta.

“Para produser di sana mampu melabur kos yang jauh lebih tinggi kerana mereka tahu prospek mereka mencakupi hampir keseluruhan dunia yang pastinya memberi keuntungan jauh lebih besar,” getusnya.

MALAYSIA jauh ketinggalan jika berbicara soal bajet produksi, namun Nazim percaya karya tempatan boleh pergi jauh sekiranya diberi pendedahan lebih besar.

Meskipun mengakui perjalanan industri seni Malaysia masih panjang dan banyak kekurangan, Nazim berkata, karya-karya tempatan juga boleh bersaing tanpa terlalu pusing soal bajet.

“Kita masih berada di belakang, namun saya pasti sekiranya karya-karya tempatan diberi ruang tayangan lebih besar, para produser dan pelabur tempatan juga boleh bersaing dengan karya-karya mereka tanpa kekangan bajet.

“Meskipun bukan dalam tempoh terdekat, mungkin sedekad lagi kita mampu melihat produksi-produksi tempatan berkembang secara progresif,” ujarnya penuh positif.

Dalam pada itu, membentangkan sedikit pendapat tentang budaya atau trend produksi tempatan yang sepertinya ‘obses’ mengambil pensohor media sosial sebagai pelakon, Nazim mempunyai buah fikiran tersendiri.

Katanya, pada era sekarang, sesiapa sahaja boleh menyerlah dalam media sosial, namun baginya secara peribadi, ramai juga yang memberikan komitmen yang baik walaupun mula dikenali sebagai ‘influencer’.

SEBAGAI ‘senior’ dalam industri hiburan, Nazim terbuka menerima kehadiran ramai pendatang baharu yang datangnya dari media sosial.

“Seiring dengan peredaran zaman dan teknologi, kita perlu menerima kenyataan bahawa dewasa ini, sesiapa sahaja mampu menyerlah dalam media sosial. Bagi saya, sekiranya seseorang individu itu mampu menjana populariti hanya berpaksikan media sosial tanpa perlu keluar dalam televisyen, mereka mempunyai ‘faktor X’ tersendiri dan daya tarikan ramai.

“Pada hemat saya, tidak perlu dipersoalkan populariti golongan ini selagi mereka bersandarkan personaliti yang baik. Seperti mana kita tahu, ada segelintir anak seni yang potensi bakatnya bermula dengan media sosial.

“Pada masa yang sama, kita juga perlu menitikberatkan soal keinginan seseorang anak seni untuk bergerak jauh dalam industri. Terserah kepada niat masing-masing. Apapun saya tetap gembira melihat perkembangan kerjaya mereka,” katanya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI