fbpx
Motosikal yang menggunakan minyak pelincir klon akan cepat hilang kuasa pecutan dan enjin cepat panas. – gambar hiasan

Enjin hancur angkara pelincir klon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tabiat suka membeli pada harga murah tanpa mempedulikan kualiti bara­ngan menyebabkan ramai pemilik kenderaan mengalami kerugian puluhan ribu ringgit selepas terbeli minyak pelincir klon yang berlambak di platform online.

Akibatnya, enjin kenderaan cepat rosak dan hancur apabila minyak pelincir itu tidak mempunyai keupayaan melindungi jentera seperti produk tulen dan dalam masa sama si penjual mengaut untung hasil daripada penipuan yang dilakukan.

Difahamkan, si penjual mampu mendapat keuntungan sehingga 200 peratus kerana hanya memerlukan modal yang kecil untuk menghasilkan bahan tiruan. Mereka mencampurkan mi­nyak pelincir tulen dengan bahan tertentu untuk menghasilkan produk klon.

Bahkan, si penipu akan menggunakan botol dengan label seakan sama dengan yang tulen hingga membuatkan pengguna terpedaya.

Menurut seorang pengusaha bengkel kereta, Sky Leong, 40, dia telah membaiki kira-kira 300 buah kenderaan yang rosak akibat menggunakan bahan pelincir klon sepanjang tahun lalu sehingga April lepas.

Kebanyakannya melibatkan Perodua Myvi.

Katanya, kos untuk membaiki kereta mencecah antara RM2,000 hingga RM10,000 bergantung kepada tahap kerosakan.

“Kebiasaannya, jangka hayat perjalanan minyak pelincir asli sehingga 8,000 kilometer (km), namun produk palsu hanya 2,000km.

“Enjin akan mengalami masalah apabila minyak pelincir palsu yang digunakan sudah kering sekali gus menyebabkan komponen di dalamnya tidak dapat berfungsi dengan baik lalu rosak,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, antara cara untuk membaiki enjin yang rosak adalah dengan melakukan ­overhaul iaitu proses meleraikan enjin bagi mencari punca masalah atau tukar sahaja jentera baharu.

Sementara itu, pemilik Red Speed Motorsport, Muhammad Hafiz Shah berkata, bengkelnya membaiki lebih 200 buah motosikal yang mengalami kerosakan enjin sepanjang tiga tahun lalu.

Katanya, ramai dalam kala­ngan pelanggannya terpaksa membayar antara RM2,000 hingga RM3,000 bagi membaiki enjin yang terjejas akibat minyak pelincir klon.

Ujarnya, antara jenis motosikal yang sering dibaikinya akibat masalah tersebut adalah Yamaha Y15ZR dan 135LC.

“Biasanya minyak pelincir klon dijual mengikut gred tulen. Minyak pelincir mineral yang berharga antara RM15 hingga RM25 dijual sekitar RM8.50 hingga RM11.

“Minyak pelincir semi sintetik pula biasanya berharga RM35 namun yang palsu dijual pada harga RM28. Bahan pelincir sintetik asli pula boleh dimiliki sekitar RM90, namun dijual pada harga RM45 bagi yang klon,” katanya.

Katanya, mereka yang menggunakan minyak hitam klon boleh mengesan perubahan pada motosikal masing-masing dalam tempoh seminggu selepas menggunakannya.

“Antara perkara yang biasanya berlaku adalah motosikal pengguna tidak menghasilkan kuasa seperti biasa, malah akan keluar bunyi pelik dari enjin selain akan cepat panas,” katanya.

Tambahnya, proses membaiki enjin mengambil masa antara dua minggu hingga sebulan, malah jika pemilik motosikal menukar enjin baharu, ia boleh memakan masa sehingga enam bulan sebelum boleh ditunggang semula.-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN