fbpx

Menyamar pelanggan sebelum melarikan barang kemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar CCTV yang memaparkan kejadian seorang lelaki melarikan seutas rantai leher dan gelang tangan, semalam.

MACHANG – Sebuah kedai emas di Bangunan Majlis Daerah Machang di sini mengalami kerugian kira-kira RM10,550 selepas seutas rantai leher dan seutas gelang tangan dilarikan seorang lelaki yang berpura-pura hendak membeli barang kemas itu semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.10 petang ketika seorang pekerja wanita premis itu sedang bekerja sebelum didatangi oleh suspek yang berminat untuk membeli barang kemas di premis tersebut.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Suprintendan Ganti Jimmy berkata, siasatan mendapati, suspek telah meminta pekerja itu mengeluarkan seutas rantai leher jenis kikir melor seberat 29 gram yang dijual pada harga RM7,000.

Menurutnya, ketika pekerja itu meminta bantuan rakannya mengira harga semasa rantai itu, suspek telah mengarahkan wanita tersebut mengeluarkan seutas gelang tangan jenis coco seberat 14.2 gram dengan anggaran harga RM3,550.

“Selepas mengeluarkan kedua-dua barang kemas itu, suspek meminta pekerja premis berkenaan mengira harga keseluruhan kerana dia mahu membelinya.

“Ketika wanita terbabit mengira harga sambil memegang kedua-dua barang kemas itu, suspek merampas rantai dan gelang itu sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal jenis Honda Wave bersama seorang lagi rakannya yang sudah menunggu di luar premis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Ganti, wanita itu cuba mengejar suspek dengan bantuan orang ramai, namun gagal kerana keadaan jalan agak sesak dengan kenderaan ketika itu.

“Polis sedang mengesan suspek dalam kes itu berpandukan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis tersebut. Tiada sebarang maklumat diperoleh untuk menangkap suspek setakat ini,” katanya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI