fbpx

Perancang komplot rasuah agensi keselamatan direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penjawat agensi keselamatan (kiri) dan penolong pegawai agensi perladangan yang hadir ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini. - Foto ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Seorang penjawat awam sebuah agensi keselamatan yang dipercayai perancang dalam komplot rasuah kontrak pembekalan dan pemasangan kelengkapan pejabat agensi bernilai RM180,000 direman bermula hari ini.

Perintah reman selama tiga hari terhadap suspek lelaki berusia 57 tahun itu dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil bagi membantu siasatan kes tersebut selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Satu sumber memberitahu, suspek terdahulu ditahan pukul 12.05 tengah hari, semalam di sebuah kawasan di Johor.

Katanya, suspek yang bergred 26 itu dikatakan akan berpencen tiga tahun lagi dalam perkhidmatannya.

“Siasatan awal mendapati suspek adalah perancang utama dalam memberikan arahan kepada dua lagi rakannya yang telah direman empat hari bermula semalam.

“Dia juga dikatakan terlibat secara langsung dalam jawatankuasa pemilihan kontraktor terlibat dalam projek tersebut,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Sumber turut memaklumkan ketiga-tiga mereka bersubahat meminta dan menerima wang suapan berjumlah RM20,000 secara berperingkat bermula Ahad lalu daripada sebuah syarikat swasta

Ujarnya, ini sebagai balasan mendapatkan kontrak bernilai RM180,000 iaitu membekal, menghantar dan memasang kelengkapan serta peralatan pejabat di agensi tersebut.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek yang merupakan perancang utama ini disyaki mendapat 40 peratus daripada RM20,000 hasil rasuah mereka,” jelasnya.

Dalam prosiding reman di hadapan majistret sama, seorang lelaki yang merupakan penolong pegawai sebuah agensi perladangan turut direman selama lima bagi membantu siasatan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM15,000.

Suspek berusia 41 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan itu pada 2018 yang ketika itu difahamkan bertugas sebagai pengurus perniagaan agensi yang sama di kawasan Klang.

“Dia telah bersubahat dengan seorang pemilik syarikat berkaitan landskap dalam mengemukakan tuntutan kerja-kerja pembekalan pasir sungai dan tanah kepada agensi perladangan tersebut, sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan,” kata sumber.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut
dengan kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI