PUTRAJAYA – Ikan gred tinggi seperti temoleh dan kelah sangat sensitif kepada pencemaran air, malah spesies itu hanya ditemui di kawasan sungai yang bersih dan ekosistem yang sensitif.
Bagaimanapun, tahukah bahawa dua spesies ikan itu adalah antara 56 spesis ikan yang dikesan menjadikan Tasik dan Wetland Putrajaya sebagai habitatnya.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Tasik dan Wetland, Jabatan Perancangan Bandar Perbadanan Putrajaya (PPj), Normaliza Noordin berkata, kehadiran ikan-ikan ini juga secara langsung menjadi penunjuk biologi ekosistem yang sihat kerana ia sangat sensitif dengan pencemaran.
Beliau berkata, kajian pada tahun 2020 mendapati, nilai Indeks Kualiti Air Tasik Putrajaya adalah 92.8 sekali gus menunjukkan kualiti air yang sangat baik.
“Keadaan itu menjadikan ekosistem akuatik perbandaran ini habitat yang kondusif kepada ikan-ikan gred tinggi seperti kelah dan temoleh untuk terus mendiami.
“Kehadiran ikan-ikan ini juga secara langsung menjadi penunjuk biologi ekosistem yang sihat kerana ia sangat sensitif dengan pencemaran,” katanya hari ini.
Normaliza berkata, sistem pengurusan ikan bersepadu di Tasik Putrajaya dilaksanakan dengan kerjasama dan bantuan teknikal dari Jabatan Perikanan Malaysia.
Katanya, aspek pengurusan adalah termasuk aktiviti persampelan, penambahan stok serta kawalan ikan pemangsa bagi tujuan kawalan serta keseimbangan populasi. – K! ONLINE