PETALING JAYA – Tindakan sebuah kereta cuba memasuki simpang pada saat akhir membawa padah apabila melanggar sebuah motosikal yang berada di lorong kiri jalan raya.
Aksi ‘pancung lorong’ melibatkan kereta jenis Peugeot itu berjaya dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan sebelum ia tular di laman Facebook.
Berdasarkan klip video berdurasi 22 saat itu kelihatan penunggang motosikal telah dihimpit kereta yang cuba memasuki lorong sebelah kiri sebelum motosikalnya bergesel pada bahagian belakang kenderaan itu lalu terbalik.
Tidak dapat dipastikan bagaimana keadaan penunggang motosikal itu, namun Kosmo! difahamkan kejadian itu dirakam di sebuah kawasan di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) berhampiran Bagan.
Susulan perkongsian itu, rata-rata netizen mengutuk tindakan pemandu kereta tersebut yang memandu secara melulu sehingga berlaku kemalangan.
“Pemandu seperti ini tidak layak berada di atas jalan raya, tidak peka kepada pengguna lain, apalah nasib penunggang motosikal itu,” tulis Bang Rajan.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Atuk Dollah.
“Harap pihak berkuasa dapat mengesan segera pemandu kereta tersebut, kalau boleh tarik balik lesen dia jangan bagi orang seperti ini berada di atas jalan raya lagi.
Pada masa sama, netizen turut mendoakan agar penunggang motosikal itu selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.
“Harap penunggang motosikal selamat dan tidak mengalami kecederaan serius. Ahli keluarga nanti mohon saman pemandu kereta itu, tuntut ganti rugi kerosakan motosikal dan kecederaan mangsa,” tulis Era Reka.-K! ONLINE