AMPANG – Tindak-tanduk seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan telah membongkar dadah yang disembunyikan dalam begnya sekali gus menyebabkan dia ditahan polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek telah terserempak dengan pasukan Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) yang sedang menjalankan pemantauan di sekitar Jalan Susur Ampang Point, dekat sini pukul 7.45 pagi.
“Suspek yang berusia 26 tahun dan menunggang motosikal Yamaha 150 itu dilihat dalam keadaan mencurigakan menyebabkan pasukan berkenaan menahannya dan melakukan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan pada tubuh badannya telah menjumpai satu bungkusan lutsinar dipercayai dadah jenis syabu anggaran berat 13 gram yang disimpan di dalam beg sandang yang digalas di hadapan badannya.
“Pemeriksaan lanjut ke atas nombor my kad juga mendapati suspek masih mempunyai 11 rekod lampau tidak dikehendaki berkaitan Akta Dadah Berbahaya (ADB),” ujarnya.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.
Katanya, suspek telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 39a (1) ADB 1952 dan juga dibawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
“Orang ramai dinasihati agar sentiasa menjauhkan diri daripada najis dadah dan ingatlah dadah adalah musuh utama negara,” ujarnya. – K! ONLINE