PETALING JAYA – Pelakon dan juga penyampai radio Sharifah Shahira berkongsi bakat salah seorang anaknya, Airra apabila berjaya menghasilkan ‘lukisan’ yang dilakar pada hamparan permaidani dalam biliknya menggunakan jari.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Sharifah Shahira atau mesra disapa Shiera terkejut dan teruja sewaktu masuk ke bilik anaknya itu dan terlihat lukisan berupa potret salah seorang pelakon drama Netflix popular, Jung Ho-yeon yang dilakar di atas permaidani.
“Wow. Airra Lukis atas karpet. Cantiknya. Aku boleh lukis orang lidi jer,” kata Shiera.
Bagaimanapun, ujar kakak kepada pelakon, Sharifah Sakinah itu, lakaran potret pelakon asal Korea Selatan itu telah dipadam Airra atau nama lengkapnya Airra Zulkifly tidak lama kemudian.
“Ramai suruh bingkaikan gambar yang Airra Lukis atas karpet bilik dia. Tapi dia dah padam. Dia cakap sejam nak lukis. Bye,” katanya.
Menerusi hantaran berbeza, Shiera turut berkongsi satu lagi bakat yang dimiliki Airra iaitu dengan bermain gitar walaupun hanya menerusi tontonan dalam YouTube.
Ujar Shiera, Airra mula belajar untuk bermain gitar sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada tahun lalu.
“Mari saya kenalkan. Nama dia Airra. Dia berusia 14 tahun. Airra mula belajar bermain gitar sejak Pandemik lalu. Mula tak mandi juga (seloroh),” tulisnya dalam Instagram.
Ujarnya, Airra hanya belajar untuk bermain gitar atau melukis menerusi tontonan dalam YouTube semata-mata dan tidak mengikuti sebarang kelas secara formal.
“Budak sekarang belajar dekat YouTube sahaja. Main gitar, melukis, menari, mengaji atau sembahyang, semua pandai (belajar daripada YouTube).
“Mak dia tak tahu buat. Tapi kat mulut handal (kuat berleter),” ujar Shiera.
Menjengah dalam ruangan komen, bakat yang dimiliki Airra turut mendapat perhatian dalam kalangan rakan-rakan selebriti apabila memberi pujian kepadanya.
“Hebat!” puji penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Berbakatnya Airra,” kata pelakon Nabila Huda.
Malah ada juga netizen menyifatkan Airra seperti penyanyi dan juga komposer terkenal, Datuk M. Nasir apabila memiliki bakat luar biasa walaupun bersikap pendiam.
“Airra macam M. Nasir. Orangnya agak pelik perangainya. Pendiam, tapi sarat dengan idea seni yang mengagumkan. Orang berjiwa seni ini istimewa dan lain macam,” kata seorang pengguna Instagram. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929