JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekesalan baginda berhubung kejadian pengemudi bot yang membawa bot secara berbahaya dan sedang berada di bawah pengaruh dadah.
Baginda bertitah bahawa kejadian itu berlaku betul-betul di depan matanya.
“Saya lihat mereka bawa bot penumpang dengan laju dan berbahaya dekat jeti Pulau Rawa.
“Saya arahkan polis menahan bot tersebut yang dalamnya ada membawa satu keluarga dengan anak-anak kecil untuk aktiviti ‘island hopping’,” titahnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sultan Ibrahim turut mengarahkan agar semua agensi penguatkuasaan meningkatkan rondaan dan mengambil tindakan tegas.
“Setelah polis buat penahanan dan siasatan lanjut, jelaslah tindakan mereka memandu bot dengan tidak tentu arah kerana kesan pengaruh dadah.
“Ambillah tindakan tegas termasuk membatalkan lesen pemandu dan rampas bot yang tidak mengikut peraturan.
“Perkara seperti ini sangat memalukan industri pelancongan negeri Johor. Saya harap perkara sebegini tidak berulang lagi,” titah baginda. – K! ONLINE














