fbpx

Pengedar dadah mati mengejut ketika ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kematian seorang lelaki disyaki pengedar dadah diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

KUALA LUMPUR – Polis mengklasifikasikan kematian seorang lelaki disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ketika serbuan di sebuah pangsapuri Taman Dato Senu, Sentul, semalam, sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, setakat ini, kematian lelaki terbabit diklasifikasikan sebagai SDR sehingga laporan bedah siasat diperolehi dari Hospital Kuala Lumpur.

“Kita telah menahan seorang lelaki berusia 45 tahun ketika serbuan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan tersebut.

“Suspek telah bertindak agresif dengan mencapai sebilah sabit dan hendak menyerang pasukan serbuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, dalam usaha menahan suspek, polis telah menggunakan kekerasan minima untuk menahan suspek dan merampas sabit berkenaan.

“Suspek telah berjaya ditahan dan pemeriksaan dalam rumah di tingkat tiga berkenaan menemui methamphetamine dianggarkan seberat 51.24 gram dan heroin seberat 1.97 gram.

“Suspek bagaimanapun tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum polis menghubungi ambulans untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi rampasan dadah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat dari Hospital Kuala Lumpur diperolehi.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI