fbpx

Anak Fazura, Fatima dihadiahkan rantai berlian oleh Tengku Permaisuri Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar InstaStory Fazura yang memaparkan rantai berlian (tengah) yang diterima Fatima daripada Tengku Permaisuri Norashikin hari ini.

PETALING JAYA – Bertuahnya badan. Itu luahan yang terungkap dari bibir rata-rata netizen saat melihat anak pasangan selebriti popular, Fazura dan Fattah Amin iaitu Nur Fatima Aisya menerima seutas rantai berlian daripada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman hari ini.

Manisnya, rantai berserta loket berlian yang direka khas dengan abjad F bersempena nama Fatima.

Hadiah tersebut juga kurniaan Tengku Permaisuri Selangor bersempena ulang tahun kelahiran Fatima yang pertama.

Menerusi InstaStory yang dimuat naik Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 38, dia dilihat menerima sebuah beg kertas berwarna merah yang tertera nama Permaisuri Selangor.

Selain rantai, Fatima turut menerima sekeping kad yang tertulis ucapan istimewa daripada Tengku Permaisuri Norashikin.

“Kepada Fatima, awak layak menerima semua cinta dan kebahagiaan di dunia. Selamat hari jadi,” tulis baginda  Tengku Permaisuri dalam kad tersebut.

Dalam pada itu, sebagai seorang ibu, Fazura menzahirkan rasa teruja dengan pemberian istimewa yang diberikan Permaisuri Selangor buat puteri kesayangannya itu.

SELAIN seutas rantai, Fatima turut menerima sekeping kad yang tertulis ucapan tulisan tangan daripada Permaisuri Selangor.

“Hadiah istimewa untuk Fatima daripada Tengku Permaisuri Norashikin.

“Masya-Allah, sukanya. Rantai rekaan khas untuk Fatima. Junjung kasih kepada Permaisuri yang penyayang dan pemurah,” kata pelakon filem Pisau Cukur itu.

Terharu dengan pemberian tersebut, dia turut menitipkan doa buat Permaisuri Selangor agar sentiasa dilimpahi rezeki dan kegembiraan.

“Kami sayangkan Tuanku. Semoga Tuanku sentiasa diberkati dan dilimpahi dengan kegembiraan, rezeki dan kasih sayang setiap hari, amin,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Fazura juga pernah menerima hadiah daripada Permaisuri Selangor iaitu kepingan syiling emas dan beberapa naskhah buku agama.

Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis tertutup pada 27 November 2017.

Hasil perkahwinan, pasangan popular berkenaan dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober 2020. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI