LANGKAWI – Seramai 10 pelancong ditahan bersama dadah jenis ketamin dan ubat batuk di sebuah bilik hotel di Pantai Tengah di sini awal pagi ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, kesemua lelaki berusia 23 hingga 31 tahun tersebut ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Langkawi dan Balai Polis Padang Mat Sirat.
Kesemua suspek datang dari Kuala Lumpur untuk bercuti di pulau peranginan ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari memberitahu, hasil pemeriksaan menemui lapan peket plastik lut sinar berisi dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 7.2 gram dan dua botol ubat batuk kira-kira 200 mililiter.
“Dadah dan ubat batuk tersebut ditemui di atas meja kecil di dalam bilik berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, enam suspek didapati positif ketamin manakala empat lagi negatif dadah.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Mereka juga dikompaun RM4,000 seorang kerana melanggar syarat prosedur operasi standard (SOP) iaitu berkumpul di bilik hotel sama sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan sosial.
“Kompaun dikenakan mengikut Perkara 9 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929