fbpx
BIARPUN sibuk dengan tugas-tugas kepimpinan di universiti, ia tidak menghalang Umi Nor Fadhilah untuk turun padang membantu anggota masyarakat yang memerlukan.

Status pelajar cemerlang tidak jadi diri sombong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI sesetengah orang, apabila memegang status pelajar cemerlang menjadikan diri sombong dan mula merendahkan keupayaan orang lain yang dikatakan tidak setaraf dengan mereka.

Namun, ini tidak berlaku kepada seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Kaunseling, Universiti Malaya, Umi Nor Fadhilah Lulong Hariz Joseph,26.

Walaupun cemerlang dalam akademik serta kokurikulum, tetapi dia tetap merendah diri dan menjadikan semua itu sebagai motivasi untuk dia terus membantu insan memerlukan dalam aktiviti kemasyarakatan.

Walaupun sibuk dengan aktiviti persatuan, namun Umi Nor Fadhilah berjaya mengekalkan pencapaian akademik yang baik dengan mendapat keputusan anugerah dekan pada setiap semester setakat ini.
——————————————————————————————————————————————————————
KEWUJUDAN golongan belia yang berkualiti dan menyeluruh merupakan penentu kepada corak pembangunan dan kemajuan negara pada masa akan datang.

Justeru, setiap belia terutamanya di universiti perlu dibimbing dan digilap bakat kepimpinan mereka agar mampu meneraju sebuah organisasi dengan baik.

Perkara tersebut jugalah yang dilakukan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Kaunseling, Universiti Malaya, Umi Nor Fadhilah Lulong Hariz Joseph.

Mahasiswi berusia 26 tahun itu dipilih sebagai Yang Dipertua (YDP) Persatuan Kaunseling Universiti Malaya (Perkum) di bawah seliaan dan bimbingan Prof. Madya Dr. Rafidah Aga Mohd. Jaladin.

Memandangkan bakat kepimpinannya begitu terserlah, Umi Nor Fadhilah juga dilantik sebagai Presiden bagi Young Counselling Scholar National (YCS) di bawah naungan Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa.
YCS adalah sebuah badan penaung kepada semua persatuan kaunseling yang terdapat di universiti tempatan.

“Jawatan-jawatan ini bukan sekadar satu kebanggaan, tetapi turut dilihat sebagai satu kepercayaan, tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada saya untuk dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Meskipun berstatus mahasiswi, namun ia tidak menghalang saya untuk bergiat aktif dalam kepimpinan organisasi dan seorang aktivis kemasyarakatan,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.

Menurut Umi Nor Fadhilah, pelbagai aktiviti telah berjaya dijalankan oleh Perkum dan YCS di bawah kepimpinannya hasil sokongan daripada rakan-rakan mahasiswa lain.

Jelasnya lagi, dia lebih gemar menganjurkan aktiviti kesukarelawanan yang dapat menghubungkan para ahli Perkum dan YCS dengan masyarakat di sekitarnya.

“Selain daripada dapat membantu golongan terjejas dengan keadaan ekonomi ketika ini, ia juga dapat memberi pencerahan kepada masyarakat tentang bidang psikologi kaunseling.

“Penerangan yang diberikan secara tidak langsung dapat membuka mata masyarakat tentang kepentingan dan kebaikan khidmat kaunseling dan bimbingan,” ujarnya.

Menariknya, wanita berasal dari ibu kota itu juga merupakan individu bertanggungjawab untuk memastikan para mahasiswa tidak terputus bekalan makanan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

AKTIVITI kesukarelawanan mengajar Umi Nor Fadhilah erti kehidupan sebenar yang penuh pancaroba dan cabaran tersendiri.

Umi Nor Fadhilah berjaya mendapatkan dana bagi bantuan pek makan malam dan barang keperluan buat mahasiswa yang berada di kolej kediaman dan menyewa di luar.

“Usaha ini adalah untuk memastikan kebajikan pelajar-pelajar terutamanya yang berada di kampus dan berjauhan daripada keluarga terus terbela,” katanya.

Selain aktif dalam kepimpinan, dia memiliki sijil program luar daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi membolehkannya melakukan program dan latihan kepimpinan remaja.

Umi Nor Fadhilah juga merupakan seorang penceramah motivasi bebas yang sering mendapat undangan daripada pihak sekolah dan institusi pengajian tempatan.

“Meskipun terpaksa menjalani norma baharu, namun ia tidak menghalang saya daripada terus melakukan aktiviti berkaitan hal ehwal pelajar, seminar psiko pendidikan, khidmat masyarakat dan seumpamanya.

“Kita sebagai manusia, seharusnya tidak terlalu fokus terhadap kesukaran, tetapi perlu sentiasa bersyukur. Itulah pencetus semangat kepada saya untuk terus menyumbang kebaikan kepada orang sekeliling,” tegasnya.

Walaupun sibuk dengan aktiviti persatuan, namun Umi Nor Fadhilah berjaya mengekalkan pencapaian akademik yang baik dengan mendapat keputusan anugerah dekan pada setiap semester setakat ini.

Ujarnya, dia mengakui bertuah kerana dikurniakan keluarga, pensyarah dan rakan-rakan yang cukup memahami dan sentiasa menyokong setiap aktiviti dilakukan.

“Peluang menjadi seorang pemimpin pelajar dilihat sebagai ruang untuk memberi inspirasi kepada mahasiswa lain supaya menjadi insan serba boleh. Bukan sahaja dalam bidang akademik, malah aktiviti kepimpinan dan kesukarelawanan.

“Pengurusan masa yang baik dan keterampilan diri yang cemerlang adalah elemen penting untuk disemai dalam diri setiap mahasiswa agar dapat mencapai keseimbangan dalam hidup.

“Ini penting dalam usaha melahirkan belia berkualiti, sekali gus dapat menyumbang kepada diri sendiri, keluarga, agama dan negara pada masa depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN