fbpx

Pengacara televisyen tergamam, PM pula tanya soalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar sebuah video menunjukkan Perdana Menteri mengikuti temu bual dalam sebuah program semalam.

PETALING JAYA- Tiga pengacara televisyen yang mengendalikan program bual bicara bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam tergaman apabila Perdana Menteri pula secara spontan bertanyakan soalan kepada mereka.

Menerusi rancangan tersebut, Perdana Menteri kelihatan ‘sporting’ apabila mengambil alih tugas sebagai hos dengan bertanya soalan kepada ketiga-tiga pengacara itu mengenai maksud Keluarga Malaysia.

Soalan spontan ditanyakan itu turut mendapat reaksi positif daripada pengacara terbabit selain disifatkan sebagai jarang berlaku dalam wawancara eksklusif bersama Perdana Menteri.

Menurut salah seorang pengacara itu, Azaria Tagaya, beliau menyifatkan perkara seumpama itu pertama kali dilaluinya apabila ditanyakan soalan oleh Perdana Menteri.

“Datuk Seri rasanya ini kali pertama Perdana Menteri bertanya kita soalan dalam wawancara eksklusif. Nanti beliau ambil kerja kita pula selepas ini,” katanya.

Azaria menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya turut mengakui terkejut apabila secara tiba-tiba diajukan soalan sedemikian.

“Bila Perdana Menteri pula tanya pengacara. Tergamam jugalah, sedang dalam wawancara eksklusif dengan Perdana Menteri, tiba-tiba Perdana Menteri tanya soalan kepada pengacara,” tulisnya.

Sementara itu, video berkenaan yang dikongsi di akaun TikTok sebuah televisyen swasta turut tular dengan mendapat pelbagai reaksi positif daripada orang ramai.

Lebih menarik, ramai menyifatkan Perdana Menteri sebagai seorang yang berperwatakan ‘sempoi’ berikutan pandai membuat jenaka selain tidak mewujudkan jarak antara pemimpin dan rakyat. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI