fbpx
Gambar hiasan

Pelajar mungkin boleh bawa telefon ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNGUN – Kementerian Pendi­dikan (KPM) tidak menolak kemungkinan membenarkan pelajar terutama di tingkatan enam dan lima untuk membawa telefon bimbit masing-masing bagi melicinkan proses pendaftaran masuk dan keluar ke sekolah secara harian.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin bagaima­napun berkata, mekanisme cadangan itu masih dalam penelitian dan ketetapan berhubung perkara tersebut belum dilakukan
lagi.

“Buat masa ini kita masih belum ada ketetapan umum (cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit) dan sedang meneliti bagaimana sudut operasinya.

“Jika ada sebarang maklumat terbaharu, kita akan memaklumkannya,” katanya ketika meninjau hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Sains Dungun di sini semalam.

Radzi berbual dengan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman,
Kuala Terengganu, semalam.
– PUQTRA HAIRRY

Sumber memaklumkan terdapat cadangan awal membenarkan pelajar untuk membawa telefon bimbit bagi melakukan pendaftaran masuk dan keluar ke sekolah menerusi aplikasi MySejahtera.

Difahamkan sejurus selesai proses pendaftaran masuk atau check in pada waktu pagi, telefon bimbit itu akan disimpan oleh pihak sekolah sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.

Sebelum ini, pelajar sekolah telah diminta untuk muat naik aplikasi MySejahtera masing-masing setelah menerima suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV).

Dalam perkembangan sama, Radzi memberitahu, hampir semua pelajar tingkatan enam dan lima iaitu kira-kira 82 peratus te­lah menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Radzi menjelaskan, Kementerian Pendidikan (KPM) kekal dengan dasar tidak membenarkan lebih 2,000 guru yang enggan divaksin Covid-19 daripada melaksanakan tugas pengajaran secara bersemuka dengan pelajar dan murid.

Jelas beliau, guru-guru terbabit akan diberi tugas-tugas lain ditentukan pengurusan sekolah selain sebahagiannya mungkin ditukar ke negeri lain mengikut keperluan.

“Tidak bermakna dia (guru enggan divaksin) akan terus ditukarkan tetapi dalam konteks tertentu seperti hampir semua guru mengajar mata pelajaran sama tidak mahu divaksin, kita tiada pilihan.

“Kalau tidak, pengajaran akan terjejas. Kekosongan mereka nanti akan digantikan guru dari negeri lain yang telah lengkap vaksinasi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN