BERUAS – Semua agensi bertanggungjawab termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta lebih tegas serta teliti dalam memberi kelulusan sesuatu projek pembangunan khususnya melibatkan kawasan penempatan.
Ini bagi memastikan sistem saliran yang dirancang benar-benar efektif agar tidak mencetuskan isu lain misalnya banjir kilat.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, pemantauan serta penguatkuasaan kaedah pelaksanaan yang ketat juga perlu dijalankan agar pemaju benar-benar patuh pada piawaian yang diberi.
“Saya mahu setiap agensi sama ada PBT atau agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu lebih tegas serta teliti dalam setiap kelulusan pembangunan.
“Saya juga memberi ingatan kepada semua agensi bahawa apa-apa pembangunan baharu di sesuatu kawasan harus dipastikan bahawa perancangannya mengikut garis panduan yang ditetapkan,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Mohd. Zolkafly telah mengadakan lawatan ke kawasan berisiko banjir di Mukim Beruas bersama penasihat Menteri Besar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Baru, Datuk Abd Manaf Hashim,
Turut hadir Pengarah JPS negeri, Ir. Baharuddin Abdullah dan Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














