fbpx

20 lagi terlibat rusuhan depan tokong ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian 20 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan di hadapan sebuah tokong di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Seramai 20 lagi individu telah ditahan polis susulan kejadian rusuhan di hadapan sebuah tokong di Jalan Sungai Besi, Salak Selatan di sini pada 28 September lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, tangkapan dibuat pada 29 dan 30 September melibatkan individu berusia 18 hingga 84 tahun.

“Kira-kira pukul 8.30 malam 29 September lalu, polis telah menahan dua lelaki tempatan berusia 38 serta 56 tahun dan pada 30 September kira-kira pukul 1.30 pagi sewaktu pihak polis mengepung kawasan tokong untuk membuat tangkapan, pihak tokong telah bertindak menyerah diri.

“Pihak tokong kemudiannya telah menyerahkan satu surat permohonan maaf yang ditujukan pada pasukan polis bagaimanapun tangkapan tetap dibuat ke atas 18 lagi individu yang terdiri daripada 12 lelaki dan enam wanita berusia 18 hingga 84 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, dua daripada suspek yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis berikutan faktor usia manakala 10 suspek telah direman satu hari bagi membantu siasatan.

Muhammad Idzam berkata, kertas siasatan yang lengkap telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dengan cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

“Pertambahan pertuduhan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan
Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021 turut dicadangkan memandangkan kesemua suspek telah berkumpul beramai-ramai di tempat awam.

“Susulan video berkaitan isu ini yang tular di media sosial, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam,” ujar beliau.

Terdahulu, Kosmo! Online pada 28 September lalu menafikan terdapat sebarang tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam rusuhan yang terjadi di hadapan sebuah tokong di Jalan Sungai Besi di sini.

Difahamkan, ketika itu pihak Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) sedang menjalankan operasi membuat pagar penghadang ‘Hoarding’ bagi membina jalan sebagai laluan untuk ke sekolah berhampiran.

Bagaimanapun, ketika kerja sedang dijalankan sekumpulan individu bersenjatakan kayu dan besi telah bertindak menghalang serta memecahkan mesin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI