fbpx
MUHAMMAD AZLAN (kanan) dan Boong Heong kini selesa dengan tugas hos TV berkaitan sukan.

Dari dunia atlet ke pentas hos TV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERNAH berjaya merangkul pingat pada temasya sukan sama iaitu Sukan Asia Doha 2006 di Qatar, atlet sepak takraw, Muhammad Azlan Mubin dan atlet badminton, Tan Boon Heong mempunyai kisah berbeza terjebak ke dalam bidang penyiaran.

Bagi Azlan yang tidak dapat meneruskan cabaran di gelanggang takraw disebabkan kecederaan, sebelum ini pernah berkhidmat di RTM dan kini semakin tersohor di dunia penyiaran dengan Astro Arena terutamanya ketika acara Olimpik dan Paralimpik Tokyo baru-baru ini.

Berbeza pula kisahnya dengan bekas pemain beregu badminton negara, Tan Boon Heong, 34, yang melangkah ke dunia penyiaran ketika Sukan Olimpik Tokyo, Jepun lalu.

Sewaktu berlangsungnya temasya tersebut, atlet kelahiran Alor Setar itu telah dijemput pihak Astro Arena bagi mengulas acara badminton membabitkan atlet negara.

Kemunculan kali pertama Boong Heong itu telah berjaya mencuri perhatian peminat sukan tanah air dengan humor serta kepetahannya berkata-kata dalam bahasa Melayu sewaktu membuat ulasan perlawanan.

——————————————————————————————————————————————–

SEMUANYA tampak sempurna buat Muhammad Azlan Mubin, 38, selepas berjaya menghadiahkan pingat perak buat kontinjen negara pada temasya Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.

Kejayaan itu membuatkan pemain sepak takraw kebangsaan dalam acara regu itu lebih bersemangat untuk berlatih bagi membantu negara memburu emas pada temasya berikutnya.

Bagaimanapun, malang menimpa atlet berasal dari Kulim, Kedah itu apabila lutut kanannya disahkan mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate ligament (ACL) sewaktu menjalani sesi latihan.

ACL merupakan salah satu daripada empat ligamen yang penting bagi kestabilan sendi lutut. Kecederaan ACL akan menyebabkan kelemahan pada sendi lutut yang ketara.

Muhammad Azlan diarahkan untuk melakukan sesi rehabilitasi bagi memulihkan kecederaannya. Bagaimanapun, sewaktu melakukan sesi rehabilitasi, lutut kirinya pula mengalami ACL.

Kecederaan teruk yang dialami itu telah menyebabkan bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu mengambil keputusan bersara sebagai pemain sepak takraw kebangsaan pada tahun 2007.

“Kecederaan merupakan mimpi ngeri yang sangat ditakuti para atlet. Itulah yang dilalui oleh saya apabila kedua-dua belah lutut saya mengalami ACL.

“Disebabkan itu, saya terpaksa bersara mewakili skuad kebangsaan. Pada tahun 2008, saya menjalani pembedahan pada kedua-dua belah lutut. Sewaktu menjalani sesi pemulihan itulah titik permulaan ‘penghijrahan’ ini,” katanya kepada K2.

SALAH satu aksi libasan Muhammad Azlan di gelanggang sewaktu bergelar atlet sepak takraw kebangsaan.

Jelasnya, ketika sesi pemulihan pembedahan itu, stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah memberi tawaran kepadanya untuk berlakon dalam sebuah drama Hari Raya Aidilfitri. Lakonan Muhammad Azlan dalam drama itu kemudian berjaya menarik perhatian penerbit rancangan sukan RTM.

Rentetan itu, pihak RTM telah memberi peluang kepadanya untuk mengulas acara sepak takraw pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu 2008.

“Saya mula terjebak dengan dunia penyiaran ini bukan disebabkan minat, namun atas tiket undangan sebagai pengulas jemputan sahaja bagi mengulas acara sepak takraw di RTM.

“Ulasan pertama saya itu, bagi saya, sangat teruk dan banyak berlaku kesilapan kerana tidak ada pengalaman selain rasa gementar,” imbaunya.

Meskipun begitu, pemegang Ijazah Pendidikan Jasmani dari Universiti Putra Malaysia itu tetap diberi peluang oleh RTM bagi mengulas temasya Olimpik Beijing, China.

Peluang tersebut dimanfaatkan oleh Muhammad Azlan bagi memperbaiki kesilapannya sebelum ini serta menimba pengalaman daripada pengulas-pengulas ‘otai’ di RTM.

“Selepas Sukma, RTM bagi saya peluang ulas temasya lain pula. Ketika itu, saya ambil peluang untuk belajar cara mengulas dengan lebih baik.

“Antara individu banyak beri tunjuk ajar kepada saya ialah Allahyarham Datuk Hasbullah Awang, Hafizal Hamad, Jasni Shafie dan ramai lagi.

“Prinsip saya, jangan sesekali takut buat salah. Kalau ada buat salah, kena terima dan terus belajar,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

KECEDERAAN yang dialami telah menyebabkan Muhammad Azlan meninggalkan sukan sepak takraw dan terdorong menerokai bidang baharu.

Pada tahun 2010, Muhammad Azlan mengambil keputusan untuk menjadi pengulas dan penyampai sukan RTM secara sepenuh masa memandangkan minatnya mula menebal terhadap dunia penyiaran.

 

Selepas lapan tahun berbakti di RTM, Muhammad Azlan mengubah haluan ke stesen televisyen sukan popular tanah air, Astro Arena.

Di Astro Arena, dia telah diberi peranan untuk mengendalikan beberapa rancangan terutamanya melibatkan sepak takraw seperti Sepak Takraw League (STL).

“Pastinya saya sangat selesa mengulas acara sukan yang sangat dekat dengan jiwa. Saya dapat merasai sendiri perasaan dan keghairahan dialami pemain ketika beraksi di gelanggang.

“Menerusi rancangan itu juga, saya sering berkongsi pengetahuan dan ilmu berkaitan sepak takraw kepada para penonton. Ia membuatkan ulasan rancangan STL lebih menarik dan informatif,” tegasnya.

Terbaharu, Muhammad Azlan telah muncul sebagai pelakon dalam drama bersiri sukan pertama ditayangkan menerusi Astro Arena iaitu Kita Regu.

“Saya ini seorang yang suka mencuba apa sahaja dalam hidup. Apabila ditawarkan peluang belakon, saya rasa tidak salah untuk mencuba, mana tahu berbakat,” jelasnya sambil ketawa kecil.

Mengimbau kembali perjalanan karier Muhammad Azlan, dia memaklumkan, penglibatan dalam sepak takraw bermula ketika berusia sembilan tahun.

Dia kemudian dipilih mewakili skuad junior negara pada usia 11 tahun sebelum beralih ke pasukan senior.
Sepanjang mewakili skuad negara dari tahun 2003 hingga 2007, Muhammad Azlan berjaya membantu negara memenangi pingat perak Sukan Sea Vietnam 2003 serta Sukan Asia Doha 2006.

Berbeza pula kisahnya dengan bekas pemain beregu badminton negara, Tan Boon Heong, 34, yang melangkah ke dunia penyiaran ketika Sukan Olimpik Tokyo, Jepun lalu.

RAMAI yang tertarik dengan gaya penyampaian Boon Heong semasa mengulas acara badminton Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini.

Sewaktu berlangsungnya temasya tersebut, atlet kelahiran Alor Setar itu telah dijemput pihak Astro Arena bagi mengulas acara badminton membabitkan atlet negara.

Kemunculan kali pertama Boong Heong itu telah berjaya mencuri perhatian peminat sukan tanah air dengan humor serta kepetahannya berkata-kata dalam bahasa Melayu sewaktu membuat ulasan perlawanan.

“Pada Olimpik baru-baru ini, saya dijemput oleh pihak Astro Arena sebagai tetamu jemputan. Tidak sangka pula, video-video ulasan saya tular dalam media sosial.

“Malah, perkataan jangan kanjiong (jangan gentar) yang sering digunakan oleh saya ketika mengulas jadi sohor kini di media sosial,” ujarnya lagi.

Disebabkan itu, jumlah pengikutnya dalam media sosial seperti Twitter, Instagram dan TikTok turut meningkat dua kali ganda serta menerima pelbagai tawaran sebagai duta produk.

Pada masa sama, video-video live Facebook dan TikTok yang menceritakan pengalaman dan rutin harian Boong Heong juga telah meningkat dengan ketara.

Kejayaan luar biasa itu telah memberi keyakinan kepada Astro Arena untuk menawarkan kontrak sebagai pengacara selama setahun kepada pemenang pingat emas acara beregu pada Sukan Asia Doha itu.

Menerusi kontrak tersebut, Boong Heong bakal tampil dalam rancangan JK (Jangan Kanjiong) bersama Shahrazad Sani yang bakal menemui para penonton pada awal Oktober ini.

Rancangan JK (Jangan Kanjiong) yang bakal bersiaran pada setiap Isnin menerusi saluran baharu Arena 2 (saluran 802) itu bakal mengupas mengenai kejohanan badminton di peringkat antarabangsa.

“Ia satu penghormatan buat saya apabila Astro Arena ingin mengambil saya sebagai pengacara bagi rancangan JK yang bakal bersiaran tidak lama lagi.

“Rancangan ini memberi peluang kepada saya mengulas prestasi pemain dalam beberapa kejohanan badminton seperti Piala Sudirman, Piala Thomas dan Piala Uber,” jelasnya lagi.

BOON HEONG (kiri) bersama Kien Keat (kanan) pernah memahat sejarah sebagai pemain beregu lelaki No.1 dunia.

Kejohanan-kejohanan besar tersebut pernah dilalui sendiri oleh Boong Heong bersama gandingan Koo Kien Keat sekali gus memberi lebih keyakinan buatnya untuk mengulas dan menjadi hos.

“Saya tidak buat sebarang persiapan untuk rancangan JK ini. Apa yang ditanya saya akan jawab sahaja. Saya lebih selesa dengan konsep spontan dan penonton juga sama,” ujarnya.

Sebagai rekod, Boong Heong telah memenangi pelbagai pertandingan antarabangsa antaranya juara beregu All England 2007, pingat emas Sukan Komanwel Delhi 2010 dan naib juara Piala Thomas 2014.

Dia bersama Kien Keat juga pernah bergelar beregu No.1 dunia dan Boon Heong sendiri pernah diiktiraf Rekod Dunia Guinness sebagai pemilik pukulan smash terpantas dunia iaitu 421 kilometer sejam pada tahun 2010.

Dalam pada itu Boong Heong menegaskan, dia tidak berhasrat untuk terlibat dalam dunia penyiaran secara sepenuh masa memandangkan dia masih mahu bermain badminton.

Kata Boon Heong, dia ingin terus bermain badminton secara profesional dengan menyertai pertandingan-pertandingan kecil selepas pandemik Covid-19 berakhir.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN