fbpx

Sarawak kini bersedia buka sektor pelancongannya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA –  Sarawak kini berada pada landasan yang betul daripada segi pengurusan pandemik dalam negeri dan telah  bersedia untuk membuka semula sektor pelancongannya dalam masa terdekat.

Pengarah Urusan Advokasi Jenama Runcit dan Dagang Malaysia (RTBA Malaysia), Datuk Fazli Nordin berkata, sehingga 23 September lalu, sebanyak 64 peratus daripada  keseluruhan populasi termasuk barisan hadapan industri telah menerima vaksinasi selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) menuju sasaran 100 peratus  imuniti kelompok.

Sarawak juga merupakan negeri pertama yang melaksanakan vaksinasi kepada kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

“Sehubungan inisiatif tersebut, ia telah meletakkan Sarawak jauh ke hadapan berbanding negeri lain.

“Selain itu, pelaksanaan aplikasi EnterSarawak iaitu permohonan dalam talian untuk memasuki Sarawak; sijil vaksinasi melalui MySejahtera dan keperluan mengisi eHealth Declaration Form (eHDF) sudah pasti akan menyuntik kembali keyakinan pelancong apabila industri pelancongan di buka semula kelak,” katanya dalam kenyataan.

Fazli menjelaskan, RTBA optimis bahawa Sarawak kini sudah bersedia untuk menjadi destinasi utama eko-pelancongan di rantau Asia didorong oleh penglibatan komuniti memulihara warisan, budaya dan biodiversiti.

Menurut beliau, masyarakat seharusnya memanfaatkan peluang ini, kerana inisiatif yang dilaksanakan pada hari ini bakal membentuk pelancongan esok.

Tambah beliau, pandemik Covid-19 telah memberikan kesan yang teruk kepada ekonomi serantau yang mana setiap negara terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran ekoran pandemik ini.

Beliau memuji kecekapan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan pemahaman penduduk Sarawak bahawa mereka berkeupayaan untuk menghadapi cabaran ini dengan baik berbanding negara dunia lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI