JAKARTA – Sebuah gerai sate di Bekasi dalam wilayah Jawa Barat menjadi tarikan ramai pelanggan kerana dimiliki oleh seorang gadis jelita, lapor laman berita Detik.com hari ini.
Gerai bernama Nasila Kitchen itu dimiliki oleh Dian Reviani yang merupakan kakak kepada seorang model di Indonesia, Savitri Zelitha.
Menurut Dian, gerai tersebut baru beroperasi. Dia mendapat inspirasi untuk membuka perniagaan itu kerana dia sendiri merupakan peminat makanan tradisional tersebut.
“Saya amat suka akan sate. Kini, saya cuba mempengaruhi orang lain untuk turut sama menyukai sate seperti saya,” katanya.
Tambah Dian, adiknya, Savitri, sering membantunya di kedai dan melayan para pelanggan sekiranya tidak terlibat dengan sebarang sesi penggambaran.
“Selain Savitri, ada beberapa lagi pekerja yang membantu saya di kedai,” ujarnya.
Menyedari bahawa gerai miliknya itu menjadi tular disebabkan paras rupa yang dimilikinya, Dian menegaskan bahawa sate yang dijual itu berasa enak.
“Saya berharap agar pelanggan dapat mencuba sate yang dijual di sini dan bukan sekadar datang semata-mata ingin bertemu dengan kami dua beradik,” katanya. – AGENSI