fbpx

Pertumbuhan ekonomi fokus utama RMK-12

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) meletakkan usaha merancakkan ekonomi antara fokus utama dengan memberi tumpuan kepada mengembalikan semula momentum pertumbuhan semua sektor ekonomi dan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia meliputi pertumbuhan beberapa industri strategik dan berimpak tinggi iaitu elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa, industri halal, kreatif, pelancongan, biojisim dan aktiviti pertanian pintar selain memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kerajaan mahu melihat sektor swasta kembali memainkan peranan lebih besar bagi membantu negara memacu pertumbuhan ekonomi.

“Saya memberi jaminan kerajaan akan mengurangkan kerenah birokrasi, menyediakan infrastruktur berkualiti dan berdaya harap, memperkukuh ekosistem bagi menyokong pelaburan swasta dan membangunkan tenaga kerja mahir,” katanya semasa membentangkan usul RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju meluluskan beberapa program dan projek utama untuk dilaksanakan dalam RMK-12 bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri strategik.

Antaranya dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik, penubuhan Pusat Kecemerlangan untuk Industri Masa Depan, dana harta intelek dan skim pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerimagunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju.

“Menerusi perancangan ini, saya percaya kita akan dapat mencapai sasaran pertumbuhan purata sektor perkhidmatan sebanyak 5.2 peratus, pembuatan 5.7 peratus, pertanian 3.8 peratus, perlombongan dan pengkuarian 2.6 peratus serta pembinaan 4.2 peratus dalam tempoh RMK-12.

“Sektor pelancongan yang paling terjejas berikutan pandemik dijangka akan pulih dengan sasaran pertumbuhan 3.8 peratus.

“PMKS pula dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada KDNK, dan 25 peratus kepada jumlah eksport pada tahun 2025,” jelasnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI