GUA MUSANG – Dua sahabat tidak pernah serik menjadi pengedar dadah apabila mereka sekali lagi dicekup dalam serbuan di sebuah rumah di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap A di sini minggu lalu.
Dalam serbuan pukul 11.45 malam pada Selasa lalu, kedua-dua suspek lelaki berusia 44 dan 33 tahun yang sedang menunggu pelanggan mereka bertindak agresif apabila melawan serta cuba melarikan diri ketika ditahan anggota polis.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, polis menjumpai sebanyak 858 biji pil kuda, 3.89 gram syabu dan 88 biji pil epam hasil selepas membuat pemeriksaan pada tubuh badan mereka.
Menurutnya, serbuan dijalankan selepas polis menerima maklumat awam mengenai kegiatan pengedaran dadah yang dijalankan oleh kedua-dua suspek.
“Siasatan mendapati, mereka mendapat bekalan dadah di Kota Bharu sebelum ia dijual di daerah ini selain untuk kegunaan sendiri.
“Suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau selain pernah ditahan polis kerana mengedar pil kuda di sekitar Gua Musang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di sini hari ini.
Menurut Choon Foo, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 22 September lalu.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














