fbpx

Jangan menakutkan pesakit yang sedang sakit – Elyana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELYANA kini menjalani prosedur kemoterapi bagi mengubati penyakit kanser limfoma yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu.

PETALING JAYA – Penyanyi Elyana yang kini sedang menjalani rawatan kemoterapi untuk melawan kanser limfoma yang dihadapinya memohon orang ramai berhenti daripada berkongsi pengalaman menakutkan tentang kanser.

Menurut Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal, 34, yang menghidap kanser limfoma tahap empat sejak 10 tahun lalu, perkongsian sebegitu boleh melemahkan semangatnya.

“Pada saat saya senang menjalani rawatan kemoterapi, saya merayu sangat-sangat kepada anda yang ingin menceritakan pengalaman kenalan rapat anda yang tewas kerana kanser dihentikan.

“Saya faham niat baik anda, tetapi tolong faham keadaan saya ketika ini yang sedang bertarung dengan mental dan fizikal. Jangan menakutkan pesakit yang sedang sakit. Maaf jika permintaan saya ini keterlaluan,” tulis Elyana dalam kapsyen di Instagramnya sebentar tadi.

Empat hari lepas, Elyana mendedahkan dia terpaksa menyerah diri ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas sebulan menahan sakit sehingga tidak dapat tidur.

Sangkaan Elyana kesakitan yang dialami hanya kesan daripada rawatan radioterapi yang dilakukan baru-baru ini.

Elyana juga sanggup menahan sakit kerana tidak mahu terlepas sambutan ulang tahun ke-10 anaknya, Cinta Sumayyah yang disambut pada 27 Ogos lalu.

Selain itu, Elyana turut bimbang akan kesihatan ibu dan adik lelakinya yang dijangkiti virus Covid-19, bagaimanapun mereka berdua kini telah sembuh.

Sepanjang 10 tahun menghidapi kanser limfoma penyanyi yang popular dengan lagu Tak Tercapai Akalmu itu telah menjalani lebih 20 kali sesi kemoterapi dan 35 kali rawatan radioterapi.

Bagi rawatan kali ini, Elyana akan menjalani sesi kemoterapi sebanyak 12 kali.

Dalam pada itu, Elyana turut berkongsi rawatan kemoterapi yang dijalaninya menerusi video dan gambar di Instagram.

“Ramai yang selama ini tanya saya macam mana buat kemoterapi? Nampak ubat dimasukkan ke dalam badan kita menerusi kemo port. Kalau radioterapi rawatan menggunakan sinaran yang sangat kuat dan perlu pakai mesin,” kongsi Elyana.

Terdahulu, Elyana membuat pendedahan tentang penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya ketika siaran langsung konsert Gegar Vaganza musim keempat pada 2017.

Elyana berkahwin dengan seorang ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada 2010 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Cinta Sumayyah, 10 dan memiliki seorang anak angkat, Cahaya Ramdhani yang berusia dua tahun. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI