fbpx
TANAH Perkuburan Islam Forest Height di Senawang di sini tular di media sosial selepas didakwa terdapat aliran cecair berwarna merah seperti darah. -Foto AFIFI HAFIZ MOHD. NOR.

Cecair merah di tanah perkuburan bukan darah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang di sini yang tular di media sosial Facebook selepas didakwa terdapat aliran cecair berwarna merah sebenarnya bukan darah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd. Ghani berkata, kawasan perkuburan tersebut mempunyai aliran mata air dan kandungan tanahnya mempunyai batuan bewarna merah sekali gus apabila ia bercampur telah mengakibatkan berlaku limpahan air bewarna merah di kawasan itu.

“Kami juga sedia maklum bahawa kawasan tapak tanah perkuburan tersebut dahulunya adalah kawasan berpaya dan memang sering berlaku limpahan air terutama ketika waktu hujan.

“Sehubungan itu, mengambil kira perkara tersebut, pihak MBS membuat keputusan untuk menutup tanah perkuburan tersebut kerana lot tanah yang tinggal tidak lagi sesuai untuk dikebumikan jenazah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali dan pegawai-pegawai daripada Jabatan Mineral dan Geosains telah melakukan lawatan ke tapak perkuburan tersebut petang tadi.

Baru-baru ini tular di media sosial Facebook apabila ramai dalam kalangan netizen tertanya-tanya berhubung situasi sebenar di Tanah Perkuburan Islam Forest Height susulan terdapat cecair berwarna yang mengalir disitu sama ada darah atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Mohamad Taufek berkata, disebabkan penutupan tanah perkuburan itu, buat masa ini urusan pengebumian jenazah umat Islam di kawasan sekitar Paroi dan Senawang akan dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam di Bandar Ainsdale di sini.

Beliau berkata, tanah perkuburan tersebut akan ditutup sementara sehingga kerja-kerja pembinaan teres di sebidang tanah yang terletak bersebelahan tanah perkuburan itu siap.

“Tanah itu juga akan digunakan sebagai tapak tanah perkuburan. Kerja-kerja pembinaan teres sedang dilakukan bagi mengelakkan berlakunya hakisan di tanah tersebut, ia dijangka siap kira-kira dua bulan lagi.

“Buat sementara Tanah Perkuburan Islam Forest Heights akan ditutup, bagaimanapun aktiviti ziarah masih boleh dijalankan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai khususnya umat Islam diminta tidak bimbang dan memperbesarkan isu limpahan air bewarna merah yang berlaku di tanah perkuburan tersebut.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR