SEBERANG PERAI – Seorang pelajar universiti kerugian wang RM3,000 selepas dipercayai ditipu berhubung penjualan sebuah jam tangan pintar yang dibuatnya di sebuah aplikasi perdagangan popular.
Mangsa lelaki berusia 21 tahun itu dikatakan berhasrat menjual jam pintar jenama Apple miliknya itu di aplikasi berkenaan dengan membuat iklan.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa telah dihubungi oleh individu yang mendakwa dari luar negara menerusi aplikasi WhatsApp kononnya mahu membeli jam tersebut.
“Suspek memberitahu mangsa bahawa dia telah membuat pembayaran menerusi transaksi dari luar negara, namun mengalami masalah ‘pending’ (tidak selesai).
“Mangsa yang tidak membuat semakan lanjut telah memindahkan wang RM3,000 ke dalam akaun yang diberikan individu terbabit kononnya bagi memperoleh wang yang ‘pending’ tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, mangsa berasa ditipu selepas pembeli berkenan gagal dihubungi sejurus dia membuat transaksi itu dan tampil membuat laporan polis.
Menurut Noorzainy, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929