SEBERANG PERAI – Seorang ahli perniagaan di Butterworth di sini berputih mata apabila dia bukan sahaja tidak memperoleh pinjaman wang sebanyak RM80,000, bahkan kerugian lebih RM11,000 selepas dipercayai diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa lelaki berusia 34 tahun itu dikatakan terjerat selepas tertarik dengan satu tawaran pinjaman secara pantas di laman sosial Facebook baru-baru ini.
Menurutnya, lelaki itu yang berhasrat membuat pinjaman telah meninggalkan nombor telefonnya pada iklan berkenaan sebelum dia dihubungi individu yang mendakwa wakil syarikat.
“Dia telah dihubungi oleh dua individu yang mendakwa ejen sebuah bank tempatan dan ditawarkan pinjaman sebanyak RM80,000.
“Mangsa kemudiannya diminta membuat sejumlah pembayaran terlebih dahulu untuk menaikkan skor kredit bagi membolehkan pinjaman dibuat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang tidak membuat semakan lanjut dengan pihak bank telah memindahkan wang yang keseluruhannya berjumlah RM11,155 ke dalam dua akaun keldai.
“Dia bagaimanapun berasa ditipu selepas suspek masih meminta wang tambahan bagi meluluskan pinjaman itu sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya lagi.
Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sementara itu, Noorzainy berkata, orang ramai boleh membuat semakan sebelum melakukan sebarang urusniaga secara online di laman web www.semakmule.rmp.gov.my bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929