fbpx

Langkah inovatif bendung ketirisan daripada ekonomi gelap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA –  Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan juga Bajet 2022 yang akan dibentangkan tidak lama lagi perlu menggariskan langkah-langkah  inovatif dan menyeluruh bagi membanteras rasuah, pendorong utama perdagangan haram dan ketirisan lain di dalam ekonomi Malaysia.

Pengasas dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE), Datuk Seri Akhbar Satar berkata, ketirisan daripada ekonomi gelap khususnya daripada perdagangan rokok seludup telah mengakibatkan kerajaan kehilangan lebih daripada RM5 bilion dari segi hasil cukai tidak dikutip setiap tahun.

Menurut beliau, isu lama ini telah  berterusan dan merosakkan ekonomi negara sekali gus memberi impak negatif kepada komuniti dan rakyat.

“Rasuah merosakkan pembangunan sosial, kestabilan politik dan kemampanan ekonomi. Ia juga menakutkan pelabur berkualiti untuk melabur di Malaysia dan mengurangkan produktiviti yang membawa kepada penurunan pertumbuhan ekonomi,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut,  Akhbar memberitahu, melalui Bajet 2022, kerajaan perlu beri tumpuan kepada usaha  penambahbaikan kerangka kerja tadbir urus dan mengukuhkan tindakan bagi melindungi dan memacu pemulihan kehidupan dan kesejahteraan rakyat, membina ketahanan ekonomi selain menganjak pembaharuan sosio-ekonomi.

Sehubungan itu, beliau menggariskan beberapa cadangan untuk pembentangan belanjawan tersebut dan  antaranya adalah memperkasa pasukan petugas pelbagai agensi dengan pegawai berkualiti tinggi bagi memerangi perdagangan haram.

“Sehingga kini, pasukan petugas tersebut telah melakukan tugas yang bagus tetapi lebih banyak kerjasama diperlukan antara agensi penguatkuasaan undang-undang berkaitan bagi mencapai hasil yang lebih baik. 

“Operasi dan perisikan bersama perlu ditambah baik dan dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur,” ujarnya.

Selain itu, beliau menyarankan agar program kesedaran dan pendidikan kepada semua peringkat orang awam dan sektor awam mengenai bahaya rasuah demi masa depan diperbanyakkan agar ia menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk memerangi rasuah.

“Kerajaan juga perlu menyediakan persekitaran kondusif yang menggalakkan orang awam melaporkan sebarang salah laku seperti penyaluran maklumat mengenai aktiviti penyeludupan,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI