fbpx
PANGIRAN NURDIAN SYAH menunjukkan salah satu herba tradisional unik iaitu nanas batu.– FARIZ RUSADIO

Cara baharu jual herba di live Facebook

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Menyedari herba tradisional kian dilupakan masyarakat moden, penjual-penjual herba tradisional terutama di ibu kota terpaksa memikirkan pelbagai pendekatan baharu demi menarik minat orang ramai khususnya golongan muda.

Ini bagi mengenal, meminati seterusnya mengamalkan pengambilan herba yang pernah menjadi amalan nenek moyang itu.

Bimbang pengetahuan tentang khasiat ubat-ubatan herba tradisional lenyap ditelan masa begitu sahaja, seorang lelaki, A. Azahari Kasim atau lebih dikenali sebagai Pak Chu mengambil pendekatan memasarkan produknya menerusi kaedah moden.

Justeru, dia telah mendapatkan khidmat bantuan daripada salah seorang anak muda, Pangiran Nurdian Syah Zainal Abidin, 35, bagi memasarkan produk secara online.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
KULIT wajahnya mula kendur, kudrat pula semakin luntur, namun lelaki berusia 64 tahun itu tetap bersemangat membuka kedainya seawal pukul 10 pagi.

Kedai menjual pelbagai herba tradisional yang terletak di tingkat satu, Pasar Transit Zon C, Bangunan Pasaria, Kuala Lumpur itu telah diusahakan A. Azahari Kasim sejak dua dekad lalu.

A. Azahari atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Chu sentiasa berharap perniagaannya dapat diteruskan sehingga ke akhir hayat meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Pak Chu mula berasa bimbang dengan penurunan pelanggan yang masuk ke kedainya membeli herba terutamanya golongan muda.

Kebimbangan berkenaan ada asasnya apabila golongan tersebut dilihat semakin meminggirkan herba tradisional yang pernah digunakan oleh nenek moyang mereka sebagai penawar pelbagai penyakit.

“Saya tidak tahu berapa lama lagi perniagaan ini mampu bertahan, tetapi saya tetap akan meneruskan perniagaan ini selagi boleh bertahan.

“Saya sedar herba tradisional ini semakin dilupakan oleh masyarakat moden. Mereka lebih tertumpu kepada ubat-ubatan moden,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

A. AZAHARI

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, herba adalah tumbuh-tumbuhan yang mempunyai nilai dari segi perubatan, khasiat makanan dan baunya.

Herba digunakan secara meluas dalam masakan, perubatan dan kecantikan. Bahkan, sejak tahun 2001, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menubuhkan Unit Perubatan
Tradisional sekali gus menunjukkan adanya usaha bagi meningkatkan kesedaran mengenai perubatan tradisional di negara ini.

Perubatan herba banyak menggunakan akar, bunga, kulit pokok dan buah tumbuhan yang terdapat di dalam hutan terutamanya daripada jenis pokok-pokok renek.

Mengimbau kembali perjalanan perniagaan Pak Chu, dia memaklumkan, segalanya bermula pada tahun 1999 dengan menjual hanya satu jenis herba iaitu belimbing bukit di Chow Kit.

“Pada mulanya saya berniaga belimbing bukit di kaki lima sekitar Chow Kit. Ketika itu, ramai pelanggan tidak tahu mengenai khasiat belimbing bukit, jadi saya terpaksa terangkan menerusi pembesar suara.

“Alhamdulillah, selepas ramai mengetahui khasiatnya, ia laris seperti pisang goreng panas. Ketika itu, sehari saya boleh jual sehingga 30 kilogram (kg),” imbaunya.

Disebabkan menerima sambutan hebat, lelaki berasal dari Besut, Terengganu itu mula pelbagaikan jualan herbanya mengikut permintaan para pelanggan.

Pak Chu juga mendalami ilmu herba secara lebih serius termasuk berkaitan khasiat serta proses pencarian bahan berkenaan di dalam hutan.

“Saya bermula dengan satu jenis herba sahaja. Setiap kali ada permintaan herba tertentu daripada pelanggan, saya pasti akan cari. Lama-lama herba dijual di sini bertambah.

“Daripada pelanggan juga saya belajar mengenai khasiat setiap herba apabila mereka berkongsi manfaat yang diperoleh diri mereka daripada pengalaman mengambil herba tersebut,” ujar lelaki berkulit sawo matang itu.

PELBAGAI pendekatan baharu diusahakan Pangiran Nurdian Syah untuk menarik generasi muda meminati herba-herba tradisional yang menjadi amalan nenek moyang zaman dahulu.

Kini, kedai herba milik Pak Chu menjual lebih 100 jenis herba yang diperoleh dari dalam negara, sekitar Asia Tenggara, China, India, Asia Barat serta Amerika Selatan.

Antara herba dijual di kedainya adalah tunjuk langit, teras kemuning, daun sena, tongkat ali, misai kucing, manjakani, peria katak, patawali, nanas batu dan kayu sepang.

Menurut Pak Chu, pelanggan di kedainya terdiri daripada semua golongan sama ada orang kenamaan sehinggalah mereka yang berpendapatan rendah.

Tegasnya, rata-rata pelanggan mencari herba sebagai jalan alternatif mengubati sesuatu penyakit sama ada yang zahir atau yang tidak nampak dengan mata kasar.

“Selalunya, pelanggan datang ke sini selepas mendapat nasihat daripada orang tertentu supaya mencuba rawatan herba dalam mengubati sesuatu penyakit. Apabila dengar sahaja penyakit yang dihidapi pelanggan, saya sudah boleh tahu campuran herba yang sesuai untuk diamalkan oleh mereka,” ujar bapa kepada enam cahaya mata itu.

Pada masa sama, Pak Chu menyatakan kekesalannya apabila kebanyakan pelanggannya datang mencari herba selepas disahkan menghidap penyakit tertentu.

Jelasnya, herba tradisional sepatutnya diamalkan secara harian ketika masih sihat bagi memastikan tubuh badan sentiasa cergas dan imuniti tubuh kekal baik.

HERBA meliputi akar, bunga, kulit pokok dan kayu.

“Orang zaman sekarang tidak seperti dahulu. Orang dahulu amal minum rebusan herba hari-hari. Orang sekarang cari herba selepas sakit,” ujarnya.

Memandangkan penggunaan herba semakin dilupakan generasi muda, Pak Chu telah mengambil pendekatan memasarkan produknya menerusi kaedah moden.

Justeru, dia telah mendapatkan khidmat bantuan daripada salah seorang anak muda, Pangiran Nurdian Syah Zainal Abidin, 35, bagi memasarkan produk secara online.

Pemuda tersebut telah bekerja di kedai berkenaan selama hampir empat tahun sambil menuntut ilmu berkaitan herba tradisional daripada Pak Chu.

“Saya mula kenal Pak Chu selepas datang ke kedai untuk mendapat herba tradisional bagi merawat tubuh badan yang lemah. Dengan izin Allah SWT, herba itu berkesan.

“Bermula dari situlah saya mula berminat dengan herba-herba ini sehingga sanggup melakukan kerja sampingan di kedai Pak Chu,” ujarnya yang juga seorang guru silat.

Menurut Pangiran Nurdian Syah, dia banyak melakukan penerangan mengenai khasiat herba tradisional menerusi Facebook Live atau Shopee Live kepada orang ramai.

“Banyak video live yang saya cerita berkaitan herba tular dalam media sosial. Ini menunjukkan ramai belia atau golongan muda suka mengenai herba tetapi mereka tidak tahu khasiatnya.

“Apabila saya cerita mengenai khasiat sesuatu herba secara online, keesokannya mesti ramai akan beli daripada saya. Ia salah satu cara kami mempromosikan herba,” ujarnya.

KEADAAN kedai herba tradisional diusahakan A. Azahari di Bangunan Pasaria, Kuala Lumpur yang dipenuhi ratusan herba yang diperoleh dari dalam dan luar negara.

Tambahnya, dia pernah menjual ratusan herba tunjuk langit menerusi dalam talian dan menerima pesanan berulang daripada pelanggan.

Selain aspek pemasaran, pihaknya juga melakukan pembaharuan atau perubahan dalam kaedah pengambilan herba-herba tradisional.

Secara tradisinya, herba-herba tradisional akan direbus sehingga patinya keluar sebelum diminum. Herba yang direbus itu boleh digunakan secara berulang kali sehingga patinya habis.

Menurut Pangiran Nurdian Syah, air rebusan herba yang terhasil biasanya berasa pahit atau kelat sekali gus menyebabkan generasi muda kurang berminat untuk mencuba.

Bagi mengatasi masalah tersebut, pihaknya telah memproses herba-herba tradisional dalam bentuk serbuk yang boleh dicampurkan dengan air minuman.

“Sebut sahaja air rebusan herba mestilah pahit. Ia sama dengan rasa ubat moden yang pahit apabila digigit. Namun, disebabkan pengambilannya secara telan tablet, jadi rasa pahit itu tiada.

“Disebabkan itu, kami mengambil pendekatan untuk mengisar beberapa herba menjadi serbuk bagi membolehkan pelanggan mengambilnya bersama air minuman teh, kopi atau coklat,” katanya.

Jelasnya, harga herba tradisional pula bergantung kepada penawaran dan permintaan pasaran. Memandangkan pencari herba tradisional semakin berkurangan di negara ini, kebanyakan herba diimport dari negara jiran.

ANTARA herba tradisional yang dikaitkan dengan khasiat seperti kayu bidara, tongkat ali, kacip fatimah, manjakani, lada pintal dan pelbagai lagi.

Keadaan ini menyebabkan harga herba menjadi tidak menentu dan bergantung sepenuhnya daripada ketetapan ditentukan orang tengah.

Sebelum mengakhiri bicara, Pangiran Nurdian Syah menasihati orang ramai supaya tidak terlalu taksub dengan sesuatu herba sehingga boleh menjejaskan kesihatan.

Katanya, setiap orang perlu tahu tahap kesihatan mereka sebelum boleh mengambil sesuatu herba terutamanya secara harian sebagai amalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN