fbpx
Wan Azhar (kanan) bersama Zuhair keluar dari IPD Kangar pada selepas menafikan penglibatannya dalam penyeludupan keluar Muhammad Sajjad, hari ini.

[VIDEO] Bukan saya seludup Sajat ke Bangkok – Wan Besi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Wan Besi atau nama sebenarnya, Wan Azhar Harun, 51, tampil menafikan penglibatannya dalam penyeludupan keluar usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat dari Padang Besar dekat sini hingga ke Bangkok, Thailand.

Dia bersama peguamnya, Zuhair Ahmad Zakuan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar kira-kira pukul 12.51 tengah hari ini bagi membuat penafian tersebut sebelum keluar kira-kira 40 minit kemudian.

Zuhair Ahmad berkata, anak guamnya mengetahui mengenai tuduhan tersebut selepas menerima panggilan telefon daripada rakannya menyatakan dia adalah pengkhianat negara kerana terlibat dalam kes Nur Sajat seperti dliaporkan sebuah akhbar, hari ini.

Katanya, berita berkenaan adalah tidak wajar dan amat dikesali kerana lelaki itu tinggal di Padang Besar dan bekerja sebagai pengusaha ternakan lembu sejak 10 tahun lalu.

“Dia juga ada terlibat dengan pembedahan jantung, jadi dia agak uzur untuk melakukan perkara-perkara sedemikian.

“Oleh itu, kami datang pada hari ini untuk memaklumkan kepada polis bahawa dia tidak terlibat seperti yang dilaporkan oleh akhbar tersebut,” katanya ketika ditemui selepas keluar dari IPD Kangar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Azhar memberitahu, dia mengetahui mengenai laporan akhbar itu daripada kawannya selepas pulang dari solat subuh pada pagi ini.

“Nama penuh saya memang lain tetapi orang memang mengenali saya sebagai Wan Besi,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR