fbpx

Gol Andrea, Steffi julang Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STEFFI (depan) meledak satu gol buat Malaysia menerusi sepakan percuma ketika menewaskan Palestin 2-0 di Stadium Faisal Al-Husseini sebentar tadi. - Foto ihsan FAM

KUALA LUMPUR – Pasukan bola sepak wanita negara menutup kempen kelayakan Piala Asia Wanita 2022 dengan kemenangan 2-0 ke atas tuan rumah, Palestin pada aksi terakhir Kumpulan H di Stadium Faisal Al-Husseini, Tebing Barat sebentar tadi.

Kemenangan itu sekurang-kurangnya menyaksikan skuad negara tidak pulang dengan tangan kosong selepas terdahulu tewas 0-4 kepada jaguh Asia, Thailand sewaktu aksi pertama pada 19 September lalu.

Dalam aksi sebentar tadi, skuad negara di ranking ke-92 dunia, dijangka tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan ke atas Palestin berdasarkan status lawan yang lebih rendah sebagai pasukan No. 120 dunia.

Bagaimanapun, anak-anak buah Jacob Joseph berdepan kesukaran untuk mencari gol pertama apabila jentera serangan mensia-siakan deretan peluang keemasan dalam aksi separuh masa pertama.

Gol yang dicari-cari akhirnya tiba pada minit ke-57 selepas Andrea Lee Xin Yi mudah menampan masuk bola menewaskan penjaga gol Palestin, Leen Qaraqra untuk membuka tirai jaringan buat Malaysia.

Ia berpunca daripada situasi kelam kabut di hadapan gawang Palestin sebelum pemain pertahanan tuan rumah membuat kesilapan memberikan bola kepada Andrea.

Kapten, Steffi Sarge Kaur memastikan kemenangan sah menjadi milik Malaysia menerusi sepakan percuma yang berjaya mengelirukan Qaraqra untuk meledak gol kedua pada minit ke-81.

Meskipun menang, peluang Malaysia ke Piala Asia 2022 dilihat sudah tertutup disebabkan kekalahan kepada Thailand yang masih memiliki satu perlawanan dalam tangan menentang Palestin pada Sabtu ini.

Sebagai rekod, hanya juara peringkat kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir pentas Piala Asia yang dijadualkan berlangsung di India tahun depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI