JOHOR BAHRU – Bermodalkan wanita cantik dan seksi yang pandai menggoda serta bermulut manis, sindiket penipuan yang menjadikan lelaki berkahwin tetapi sunyi sebagai mangsa dikatakan mampu meraih keuntungan melalui rakaman panggilan video lucah.
Modus operandi sindiket terbabit ialah meminta si lelaki berhidung belang supaya membuat aksi lucah ketika membuat panggilan video sebelum gelagat itu dirakam sama ada disedari atau tidak oleh mangsa.
Ada di antara sindiket yang menabur janji untuk memadam selepas membuat rakaman itu tetapi sebaliknya pula berlaku apabila ia dijadikan sebagai alat untuk memeras ugut mangsa yang termasuk ke dalam perangkap.
Mendedahkan perkara itu, Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Chua Jian Boon berkata, mereka yang sering menjadi mangsa ialah kaum lelaki yang sudah berkahwin, namun kesunyian atas sebab-sebab tertentu.
Katanya, melalui kes yang diterima, tipu daya bermula apabila mangsa berkenalan dengan wanita berkenaan di laman sosial sebelum mereka bertukar-tukar nombor telefon.
“Selepas itu, mereka sering membuat panggilan suara atau video dan menjadi semakin intim. Perbualan akan berbaur lucah selepas si lelaki menyangka gadis yang dikenalinya telah mula jatuh hati dan ingin melakukan hubungan intim.
“Kebiasaannya wanita terbabit tidak akan menunjukkan wajah sebaliknya hanya tubuh badan sahaja, manakala si lelaki akan menunjukkan muka mereka sekali tanpa memikirkan risikonya,” katanya ketika ditemui.
Tambahnya, ketika sedang beraksi, anggota sindiket lain yang mengawal di belakang akan merakam perbuatan mangsa bersama wanita itu.
Menurut Jian Boon, sindiket kemudian akan mengugut mangsa untuk membayar sejumlah wang bermula daripada beberapa ratus sehinggalah ribuan ringgit.
“Saya difahamkan, polis Johor telah membuat tangkapan ke atas seorang wanita yang melakukan peras ugut menggunakan modus operandi yang sama melibatkan 96 mangsa. Kita juga setakat ini telah menerima 15 aduan melibatkan mangsa berusia 21 hingga 42 tahun sepanjang Ogos lalu,” katanya.
Ujar Jian Boon, modus operandi sindiket ini adalah memulakan peras ugut antara RM300 hingga RM500 dan akan meminta lagi dengan nilai yang lebih besar sekiranya mangsa mula membayar.
“Seorang mangsa yang bekerja di Singapura memaklumkan telah membayar sehingga lebih S$20,000 (RM61,000) kerana menerima ugutan secara berterusan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Jian Boon mengingatkan orang awam khususnya kaum lelaki agar berhati-hati menggunakan media sosial agar tidak menjadi mangsa penipuan sindiket.
“Kepada golongan lelaki, diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan ajakan mana-mana wanita untuk melakukan panggilan video dengan melakukan aksi yang tidak bersesuaian.
“Jika kenal tidak lama, jangan terus percaya, ini belum jumpa bersemuka sudah tunjuk semuanya. Jangan percaya janji padam selepas rakam,” katanya lanjut.















