fbpx
Biarpun semakin pendek, masyarakat Belanda masih lagi merupakan masyarakat paling tinggi di dunia. - The journal.ie

Penduduk tertinggi dunia semakin pendek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMSTERDAM – Satu kajian mendapati masyarakat Belanda yang dahulunya terkenal sebagai antara masyarakat paling tinggi di dunia kini menjadi semakin pendek, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Kajian tersebut mendapati, biarpun ketinggian penduduk Belanda meningkat sejak 100 tahun lalu, purata  ketinggian lelaki negara itu yang lahir pada  2001 adalah 1 sentimeter lebih pendek  berbanding penduduk lelaki lahir pada tahun 1980-an.

Bagi  wanita pula, perbezaan ketinggian adalah lebih ketara iaitu sebanyak 1.4 sentimeter.

Penduduk lelaki yang lahir pada 1980 secara puratanya mempunyai ketinggian 183.9 sentimeter dan 8.3 sentimeter lebih tinggi berbanding mereka yang lahir pada 1930.

Wanita yang lahir pada 1980 pula secara puratanya memiliki ketinggian 170.7 sentimeter, lebih tinggi berbanding mereka yang lahir pada 1930 yang berdiri setinggi 165.4 sentimeter.

Kajian oleh Pejabat  Statistik Belanda itu menganalisis  seramai 719,000 warganegara Belanda berumur antara 19 hingga 60 tahun dan menggunakan ketinggian mereka yang berusia 19 tahun sebagai penanda aras.

Menurut penyelidik, punca penurunan ketinggian sebahagiannya dikaitkan dengan perpindahan daripada kumpulan populasi yang memiliki ketinggian lebih rendah.

Bagaimanapun, pertumbuhan ketinggian juga didapati merosot bagi individu yang ibu dan bapanya dilahirkan di Belanda.

Lelaki Belanda yang tidak mempunyai sejarah penghijrahan keluarga tidak menunjukkan peningkatan ketinggian, manakala wanita Belanda tanpa migrasi dalam keluarga didapati menjadi semakin pendek.

Bagaimanapun, penduduk Belanda mengatasi masyarakat lain di seluruh dunia dalam aspek ketinggian.

Sekitar tiga peratus generasi yang dilahirkan antara 1930 hingga 1934 memiliki ketinggian sekurang-kurangnya 190 sentimeter, manakala bagi tahun 2020 pula, lebih 20 peratus penduduk Belanda memiliki ketinggian 190 sentimeter dan tujuh peratus setinggi lebih 195 sentimeter.

Bagi golongan wanita pada generasi sama pula, kurang dua peratus wanita pada 1930 hingga 1934 mencapai ketinggian 180 sentimeter.

Bagi mereka yang lahir pada 1980 pula, hampir 10 peratus memiliki ketinggian sekurang-kurangnya 180 sentimeter.

Gambaran itu bagaimanapun tidak seragam di seluruh Belanda dengan perbezaan besar boleh dilihat antara penduduk di bahagian utara dan selatan negara itu.

Penyelidik bagaimanapun menegaskan bahawa Belanda tidak kehilangan gelaran mereka sebagai orang tertinggi di dunia.

Malah, penduduk yang dilahirkan pada awal milenium masih memegang status tersebut. – Agensi 

 

POPULAR