fbpx
Pelancong bermain dengan penyu di Pulau Redang, Kuala Nerus hari ini.

Rayu gelombang kedua pelancongan di pulau Terengganu disegerakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS – Kerajaan negeri Terengganu memohon agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempercepatkan usaha menjadikan rangkaian pulau peranginan di negeri itu sebagai projek gelembung pelancongan kedua selepas Pulau Langkawi.

Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, berkata, langkah berkenaan wajar diambil memandangkan kes positif harian Covid-19 di Terengganu merupakan antara terendah di negara ini.

Tambah beliau, kadar vaksinasi melibatkan pemain industri pelancongan di enam buah pulau terbabit juga sudah mencapai 100 peratus.

“Pulau peranginan di sini berbeza kerana kita tidak boleh beroperasi sepanjang tahun dan hanya ada masa sebulan lebih untuk ‘bernyawa’ sebelum berlangsungnya musim tengkujuh tidak lama lagi.

“Sehubungan itu, kita berharap agar gelembung pelancongan bermula di Pulau Redang dan Pulau Perhentian dapat dilaksanakan seawal minggu depan,” katanya ketika ditemui di Pulau Redang di sini hari ini.

Ariffin berkata, walaupun sebahagian besar resort di pulau sudah beroperasi sejak 1 September lalu, ia hanya melibatkan pelancong tempatan dan kita masih mengharapkan kedatangan pengunjung dari luar negeri.

Dalam perkembangan sama, Ariffin menyarankan pengusaha resort agar menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada pelancong sebelum dibenarkan memasuki rangkaian pulau peranginan terbabit. – K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN