fbpx

Komander Maritim Suzanna diiktiraf Ikon Wanita Dunia Carilamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Komander Maritim Suzanna

PUTRAJAYA – Ketua Penolong Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia, Komander Maritim Dr. Suzanna Razali Chan menerima pengiktirafan sebagai Ikon Wanita Dunia Carilamat peringkat Antarabangsa daripada International Maritime Rescue Federation (IMRF).

Menerusi IMRF Awards 2021, Suzanna diangkat sebagai ikon bagi kategori itu berdasarkan komitmen, kelayakan dan kepakarannya dalam bidang MSAR malah, beliau juga adalah wanita pertama di rantau Asia Tenggara memenangi anugerah tersebut.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memaklumkan, Suzanna, 40, dianugerahkan IMRF Awards 2021 setelah berjaya menarik perhatian IMRF menerusi pencapaian dan prestasinya di dalam dan luar negara serta tersenarai dalam finalis Runner Up bagi kategori ‘Women in SAR’.

Menurut kenyataan itu, Suzanna pernah membuat pembentangan mengenai ‘Women in SAR’ di World Maritime Rescue Congress pada 2019 dan dijemput sebagai panel pembentang dalam bidang yang sama sempena International Women’s Day pada 8 Mac lepas.

“Selain itu, beliau juga merupakan jurulatih bidang Carilamat Maritim sejak 2011 dan pernah menerima sijil kepujian atas pembentangan terbaik semasa berkursus di Jepun pada tahun 2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Keputusan anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IMRF, Theresa Crossley menerusi Majlis Penganugerahan IMRF Awards 2021 secara maya langsung dari London, United Kingdom melalui platform YouTube rasmi IMRF pada 14 September lalu.

Maritim berkata, bermula 2019, IMRF telah mengangkat peranan wanita menerusi inisiatif ‘Women in SAR’, selaras dengan hasrat IMO untuk meningkatkan penglibatan wanita di dalam bidang maritim, di mana sebelum ini peranan wanita kurang diberi perhatian dan ditonjolkan.

“IMRF merupakan badan bukan kerajaan (NGO) berperanan sebagai perunding dan penasihat Maritime Search and Rescue (MSAR) di International Maritime Organisation (IMO) di bawah Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UN).

“IMRF turut memperjuangkan pembangunan kapasiti dalam bidang mencari dan menyelamat maritim (MSAR) di seluruh dunia dengan misi dan tanggungjawab memberi latihan dalam kemahiran operasi MSAR melalui promosi pendidikan awam ke arah meningkatkan kesedaran tentang pentingnya keselamatan nyawa dan harta benda ketika berada di laut,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI