LONDON – Seorang wanita diejek oleh pengguna media sosial apabila menyangka tag anti pencurian di dalam coli Victoria Secret adalah alat pengesan, lapor laman berita Mail Online, semalam.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di platform Reddit, wanita itu kelihatan panik dan ketakutan apabila menemui tag RFID tersebut pada coli yang baru dibeli.
“Mereka menjejaki kita dan menjadikan pembeli sasaran kegiatan pemerdagangan manusia.
“Ini adalah cara mereka menjumpai dan menjual anak-anak perempuan anda,” tulis keterangan video.
Dia juga menunjukkan cara-cara untuk memotong tag yang kononnya pengesan itu dan menasihati kaum wanita di luar sana untuk membuangnya.
Bagaimanapun, ketakutan wanita itu akhirnya mendapat penjelasan munasabah apabila pengguna media sosial menerangkan bahawa tag tersebut adalah untuk mengesan coli sekiranya dicuri atau dibawa keluar dari kedai sebelum dibayar.
“Itu adalah tag anti pencurian yang tidak mempunyai sebarang teknologi komunikasi,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Kasihan, saya tidak pasti apa teori yang akan dibangkitkan jika dia membongkar sebuah telefon pintar yang jauh lebih canggih,” sindir seorang lagi.
Sehingga kini, video tersebut sudah ditonton lebih 10,000 kali dan menerima ribuan komen yang mentertawakan wanita itu. – Agensi