SHAH ALAM – Kes ugutan atau pemerasan video lucah di Selangor didapati meningkat secara mendadak kepada lebih 380 laporan berbanding hanya 51 kes sepanjang tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, jenayah pemerasan itu merangkumi tiga kategori dengan menggunakan kemudahan teknologi sedia ada termasuk telefon bimbit.
Katanya, kategori pertama apabila mangsa melayari aplikasi dan membuat aksi lucah tanpa menyedari ia dirakam oleh pihak berkenaan.
“Manakala kategori berikutnya adalah mereka yang mempunyai hubungan seperti suami isteri atau tunang dan individu yang merakam sendiri video peribadinya.
“Mangsa kemudiannya diugut membayar wang sekiranya tidak mahu rakaman lucah mereka disebarkan,” katanya pada program bual bicara khas di Facebook (FB) Polis Selangor berkaitan penipuan jenayah siber, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Raduan Othman.
Menurut Nik Ezanee, semua mangsa diminta tampil supaya siasatan lanjut dapat dijalankan sekali gus mengesan suspek yang terlibat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dengan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun, sebatan atau denda, sekiranya disabitkan kesalahan,” katanya.
Sementara itu, Raduan berkata, jenayah siber merangkumi empat kategori utama iaitu telekomunikasi, e-dagang, kewangan dan penipuan seperti ‘love’, ‘parcel’ serta African scam.
“Pelbagai usia atau lapisan masyarakat terdedah dengan penipuan siber dan mereka perlu berfikir logik bagi mengelak daripada menjadi mangsa,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929