fbpx

13 gorila di Zoo Atlanta positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gorila-gorila di Zoo Atlanta yang disahkan positif Covid-19 dikatakan menunjukkan gejala-gejala seperti batuk, selesema dan kehilangan selera makan. – CNN

ATLANTA, GEORGIA – Sebuah zoo di Georgia, Amerika Syarikat dilaporkan sedang merawat 13 ekor gorila yang didapati positif virus Covid-19 selepas dipercayai berjangkit daripada seorang pekerja di zoo tersebut, lapor akhbar The Atlanta Journal Constitution kelmarin.

Menurut pihak Zoo Atlanta, ujian saringan telah dijalankan ke atas kawanan gorila tersebut selepas ia didapati menunjukkan gejala-gejala seperti batuk, selesema dan kehilangan selera makan.

Pihak zoo kemudiannya mengambil sampel najis serta membuat ujian calitan pada hidung dan mulut gorila-gorila tersebut yang kemudiannya dihantar ke sebuah makmal di Universiti Georgia untuk diuji.

Hasil ujian awal mendapati, kawanan gorila tersebut dijangkiti virus Covid-19.

Bagaimanapun, pihak Zoo Atlanta masih menanti ujian pengesahan lanjut daripada Makmal Perkhidmatan Haiwan Kebangsaan di Ames, Iowa.

“Pasukan kami sedang memantau rapi kesemua gorila yang dijangkiti itu dan berharap agar haiwan-haiwan tersebut akan segera sembuh.

“Kami memberikan penjagaan terbaik kepada gorila-gorila itu dan bersiap sedia untuk menyediakan penjagaan sokongan tambahan sekiranya perlu,” kata Pengarah Kanan Kesihatan Haiwan Zoo Atlanta, Sam Rivera.

Sementara itu, pihak zoo tersebut turut menyatakan bahawa gorila-gorila itu berkemungkinan dijangkiti virus Covid-19 daripada seorang pekerja yang tidak bergejala.

“Kita tahu bahawa manusia boleh memindahkan virus Covid-19 kepada haiwan seperti gorila dan kes-kes seperti ini pernah berlaku di zoo-zoo lain.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada data yang mencadangkan bahawa haiwan di zoo boleh memindahkan virus itu kepada manusia,” kata Zoo Atlanta.

Pekerja yang menjaga haiwan tersebut dikatakan tidak menunjukkan sebarang gejala ketika pergi bekerja, namun dia disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN