fbpx

Saya hanya mahu membantu, tiada niat lain – Noorkhiriah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LUAHAN Noorkhiriah yang nyata terkilan apabila dituduh menunjuk-nunjuk atas kerja amal yang dilakukannya bersama suami.

PETALING JAYA – Pelakon Noorkhiriah terkilan apabila dituduh mahu menunjuk-nunjuk dengan amal jariah yang digerakkan Pertubuhan menerusi Amal Nur by Khiriah.

Pelakon itu turut menerima komen-komen tidak puas hati daripada netizen seolah-olah mempersoalkan kebaikan yang cuba diusahakan bersama suaminya sejak Perintah Kawalan Pergerakan 1 (PKP1).

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Khiriah atau nama lengkapnya Noorkhiriah Ahmad Shapie, 42, mengakui selama ini dia langsung tidak pernah bercakap tentang ‘saham akhirat’ atas kerja amal yang dilakukan, namun masih tetap disalah anggap oleh masyarakat.

“Assalamualaikum. Serba salah nak tulis apa-apa dalam Instagram. Sebab bila ada blogger berkongsi (kerja amal yang dilakukan), saya amat hargai, tetapi kadang-kadang tajuk yang ditulis seperti tidak kena.

“Saya tidak pernah cakap tentang ‘saham akhirat’ sebab dosa saya melambak (banyak). Kadang-kadang orang tidak faham. Bila share bab van jenazah ada cakap saya menunjuk,” tulisnya.

Ujar pelakon drama Nur itu lagi, dia menjadi serba salah kerana jika tidak diuar-uarkan, orang ramai yang susah tidak tahu bantuan yang dibuat olehnya.

“Kalau saya tidak beritahu, bagaimana orang ramai nak tahu, kalau saya tidak diberitahu bantuan ini percuma, orang pun tidak tahu juga.

“Malah ada yang menangis bila telefon saya beritahu ada yang tidak mampu. Bukan murah dik (uruskan pengebumian). Semuanya duit,” katanya.

Ujarnya lagi, atas dasar itulah, dia bersama suami tidak mengenakan sebarang caj (bayaran) dengan niat untuk membantu.

“Saya tiada niat lain. Saya sudah merasa segala macam jenis nikmat dunia dahulu. Buat van ini pun (perkhidmatan van jenazah) pun belum tentu Allah SWT pandang.

“Cuma saya usahakan, selebihnya kuasa Allah SWT,” jelasnya.

Gara-gara pernah disalah anggap segelintir netizen, Khiriah mengakui berasa serba salah untuk berkongsi tentang kerja amal yang dia lakukan walaupun niatnya hanya mahu memudahkan urusan waris yang meninggal dunia.

Sekadar info, Khiriah bersama suaminya, Azfaizul Ahtan menguruskan jenazah daripada keluarga yang kurang berkemampuan secara percuma sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan fasa satu (PKP Fasa 1) pada tahun lalu.

Katanya, sesiapa yang memerlukan khidmat berkenaan boleh menghubungi pihaknya untuk membantu sebagai sebahagian usaha ketika rata-rata masyarakat berdepan kesukaran melalui tempoh pandemik Covid-19 ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI