KEMUNCULAN pelakon kacak Jung Hae-in dalam siri Netflix, D.P yang ditayang sejak 27 Ogos lalu membuatkan perhatian ramai peminat kini terarah kepadanya.
Ramai peminat, terutama wanita tertarik untuk mengenali pelakon itu sehingga menggali banyak maklumat mengenai Hae-in, termasuklah ciri-ciri wanita dambaannya.
Terbaharu, sebuah video temu bual silamnya sekitar 2019 menerusi program Guerilla Date terbitan KBS sewaktu mempromosikan filem Tune In For Love kembali menjadi bualan peminat.
Ketika ditanya sama ada dia mahu menjalin hubungan cinta atau tidak, Hae-in tidak menafikan dan mengakui teringin untuk bercinta sama seperti orang lain.
Dia turut mendedahkan ciri-ciri wanita yang disukainya iaitu seorang yang berhati baik.
Perkara sama turut didedahkan pelakon berusia 33 tahun itu ketika muncul dalam program I Live Alone pada 2018 apabila mengakui turut menyukai wanita yang memiliki senyuman manis.