KOTA BHARU – Seorang lelaki hanya mampu melaungkan azan ketika bahagian atap zink rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Cherang di sini semalam.
Kejadian pada pukul 5 petang itu, menyebabkan kira-kira 10 keping atap zink rumah Zakaria Abdul Kadir, 54, tercabut akibat ribut kencang yang melanda kawasan kampung tersebut.
Anaknya, Zalina Zakaria, 37, berkata, dia yang sedang bekerja di sebuah kedai makan meninggalkan lima orang anak berusia dua hingga 15 tahun kepada ayahnya di rumah buat sementara waktu.
Menurutnya, sewaktu kejadian berlaku, ayahnya baru selesai menunaikan solat Asar manakala anak-anak berada di ruang tamu dan bilik sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi dentuman akibat atap rumah tercabut.
“Ayah juga memaklumkan bahawa rumah kami seperti terangkat sehingga atap zink rumah tercabut dan diterbangkan angin.
“Dia hanya sempat melaungkan azan di dalam bilik sehingga ribut reda beberapa minit kemudian. Mujur ayah dan anak-anak saya yang berada di dalam rumah itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Menurut Zalina, kejadian itu menyebabkan bahagian atap rumah mereka terbuka luas selepas sebahagian besar zink sudah diterbangkan angin.
Katanya, berdasarkan pengiraan kasar, dia mengalami kerugian sebanyak RM3,000 selepas atap zink dan beberapa kelengkapan rumah rosak akibat terkena hujan. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929