fbpx
INISIATIF ini bukan sahaja membolehkan individu melakukan infak bahkan membantu pengusaha-pengusaha trak makanan meneruskan perniagaan setelah terjejas kerana PKP.

Beramal saham akhirat menerusi trak makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA masa pandemik Covid-19 masih belum reda ketika ini, ramai orang yang terkesan dan tidak dapat meneruskan kehidupan seperti sebelumnya atas sebab-sebab tertentu seperti hilang mata pencarian akibat dibuang kerja dan sebagainya.

Bagi memberikan sinar harapan kepada golongan memerlukan ketika pandemik ini, platform aplikasi Infaq Truck diperkenalkan kepada umum sebagai pilihan untuk menderma dan bersedekah serandah RM10.

Ia merupakan sebuah inisiatif murni yang menyediakan platform untuk orang ramai melakukan infak, membantu para pengusaha trak makanan meneruskan perniagaan yang terjejas akibat pandemik, selain meringankan bebanan golongan memerlukan menerusi pengagihan makanan yang disumbangkan penginfak.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–

DIKURNIAKAN kehidupan yang stabil serta berjawatan besar membuatkan wanita berusia 36 tahun itu berasa amat bersyukur dengan pemberian Tuhan terhadapnya.

Bagi menzahirkan kesyukuran, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Emylia itu berhajat memperuntukkan sebahagian kecil gajinya untuk memberi infak kepada golongan memerlukan.

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan infak sebagai membelanjakan sebahagian wang atau harta untuk kebajikan antaranya kepada golongan memerlukan.

Bagaimanapun, kesibukan tugasan harian sebagai pegawai bank di ibu kota membuatkan Emylia tidak ada masa untuk memberi infak terutamanya bagi mencari golongan susah.

Niat melakukan ibadah infak tertangguh agak lama, sehinggalah wanita yang menetap di Setapak, Kuala Lumpur itu terjumpa hantaran mengenai inisiatif Infaq Truck di laman Facebook.

Disebabkan hantaran tersebut, hati Emylia terbuka untuk melakukan infak menerusi platform berkenaan kerana tertarik dengan konsep diketengahkan.

MAKANAN untuk diinfak tersedia di sebuah trak makanan.

Infaq Truck merupakan sebuah platform yang menyediakan peluang kepada orang ramai di hampir serata negeri di Semenanjung untuk melakukan infak melalui peniaga trak makanan terpilih sebagai pengantara atau ‘orang tengah’.

Wang diberikan akan diterjemahkan dalam bentuk makanan sebelum diedarkan kepada golongan memerlukan misalnya rumah anak yatim, warga emas, gelandangan selain petugas barisan hadapan.

Bahasa mudah mekanismenya ialah pemberi infak belanja makan orang yang memerlukan dengan sajian yang disediakan trak makanan.

“Kerjaya saya sebagai pegawai bank memang sibuk setiap hari. Pada hujung minggu pula saya akan habiskan masa dengan keluarga. Jadi tidak ada masa melakukan infak,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Menurut Emylia, sejak mengetahui platform ini, dia memperuntukkan RM300 daripada gaji bulanannya kepada Infaq Truck untuk menyediakan sejumlah makanan kepada golongan memerlukan.

Jelasnya, dia hanya perlu memindahkan wang yang ingin diinfakkan ke akaun bank Infaq Truck sebelum dibenarkan membuat pilihan trak makanan daripada senarai diberikan.

“Menerusi platform ini, saya boleh memilih trak makanan, jenis sajian dan golongan yang ingin diberikan. Biasanya saya memilih trak makanan di sekitar Setapak.

SEBANYAK 28 pengusaha trak makanan terlibat dalam inisiatif Infaq Truck.

“Dengan cara ini, saya dapat menggembirakan golongan berada dalam kesusahan terutamanya ketika ramai yang terkesan dek pandemik Covid-19,” ujarnya.

Sehingga kini, Infaq Truck telah menerima dana melebihi RM10,000 daripada orang ramai serta 22,000 makanan berjaya diedarkan kepada golongan memerlukan.

Pengasas Infaq Truck, Mohd. Daniel Fikri Mohd. Aris memberitahu, platform berkenaan mula diperkenalkan sejak tiga bulan lalu dengan memberi tumpuan di Semenanjung.

Katanya, idea Infaq Truck tercetus selepas melihat ramai yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sehingga ada yang mengibarkan bendera putih.

“Saya sentiasa berfikir mengenai sumbangan yang boleh diberikan oleh kami para peniaga trak makanan kepada masyarakat sewaktu tempoh kesusahan ini.

“Kami berharap dengan makanan enak yang diberikan hasil sumbangan mereka yang berinfak, ia sedikit sebanyak menggembirakan golongan terkesan,” tegasnya.

Jelasnya, inisiatif Infaq Truck bukan sahaja dapat membantu golongan susah, malah turut membantu para perniaga trak makanan menjana pendapatan selepas terjejas disebabkan pelaksanaan PKP selain membantu menyediakan platform bagi mereka yang mahu berinfak.

“Platform ini memberi manfaat kepada pemberi infak, peniaga trak makanan dan penerima bantuan. Para peniaga dapat menjana pendapatan selepas terjejas ekoran tidak dapat berniaga sebelum ini.

“Infaq Truck juga memudahkan urusan para pemberi infak. Mereka tidak perlu ada RM100 untuk memberi infak tetapi cukup serendah RM10 sudah boleh melakukannya,” katanya.

PARA penginfak boleh memilih jenis makanan yang hendak diberikan infak kepada golongan memerlukan.

Sehingga kini, sebanyak 28 buah trak makanan di Semenanjung telah berdaftar dengan Infaq Truck dan jumlah tersebut akan bertambah dari semasa ke semasa.
Antara pengusaha trak makanan yang berdaftar dengan platform tersebut adalah Abe (Kuala Lumpur), Braderpit (Selangor), Immiqa (Kedah), Aromarasa (Pahang), Yahanana D Wheels (Perak), Azry Kebab (Melaka), Bubur Ayam Dahlia (Johor) dan banyak lagi.

“Program infak ini juga secara tidak langsung dapat mempopularkan hidangan dari trak makanan kepada orang ramai.

“Saya berharap lebih banyak trak makanan akan berdaftar dengan kami termasuk memperluaskannya ke Sabah dan Sarawak pula selepas ini,” ujarnya yang juga peniaga trak makanan.

Pengusaha Trak Makanan Yahanana D Wheels, Zuliana Abd. Munaim, 41, berkata, setiap bulan dia mendapat sekurang-kurangnya lima pesanan menerusi platform Infaq Truck.

Dia yang berniaga nasi Arab menjelaskan, setiap tempahan individu yang memberi infak pula adalah bernilai antara RM200 hingga RM600.

“Sebelum ini, saya ada buat sendiri program infak terutamanya ketika Ramadan. Selepas ada platform ini, saya terpanggil menyertainya.

“Alhamdulillah, sambutan diterima menerusi Infaq Truck ini sangat menggalakkan. Setiap bulan, ada saja orang yang ingin memberi infak menerusi trak makanan saya,” katanya.

SEORANG peniaga trak makanan mengedarkan makanan kepada seorang gelandangan
di kaki lima.

Zuliana menjelaskan, kebanyakan mereka yang memberi infak memintanya memberikan makanan kepada petugas barisan hadapan sama ada di pusat pemberian vaksin (PPV) atau sekatan jalan raya.

Dia memaklumkan, terdapat juga pemberi infak yang memberi kepercayaan kepadanya untuk mencari sendiri golongan susah di sekitar Taiping untuk diberikan makanan.

“Orang yang berinfak menerusi trak makanan saya boleh buat tiga pilihan menu iaitu nasi ayam, nasi Arab dan nasi mentega. Mereka juga boleh pilih penerima dan saya akan hantar.

“Kalau ada yang memberi kepercayaan kepada saya untuk cari penerima, biasanya saya akan hantar ke beberapa sekolah tahfiz berhampiran,” ujarnya.

SEORANG petugas barisan hadapan gembira menerima sumbangan makanan.

Bagi memastikan ketelusan dan ketulusan, para pengusaha trak makanan perlu membuat naik gambar-gambar pemberian sajian kepada golongan sasar dalam media sosial.

Langkah itu juga dapat meningkatkan keyakinan para pemberi infak terhadap platform berkenaan memandangkan ia melibatkan wang ringgit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN