fbpx
HIDANGAN-HIDANGAN seperti ikan bakar, isi landak laut, putu, sinagol dan kinilau ini merupakan makanan tradisi masyarakat Bajau Laut yang memiliki cita rasa tersendiri.

Keunikan makanan-makanan tradisi Bajau Laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HIDUP di perantauan, menjadi rutin mingguan Nelson Rasif, 48, untuk menikmati hidangan Bajau Laut di sebuah restoran yang terkenal dengan sajian tradisional etnik tersebut di ibu kota.

Bukan sahaja hidangan-hidangan itu menepati seleranya sebagai seorang berketurunan Bajau Laut, bahkan menikmati juadah-juadah tersebut juga mengingatkan dirinya kepada kampung halaman di Lahad Datu, Sabah.
“Saya adalah seorang Bajau Laut yang telah hampir 10 tahun merantau ke Semenanjung untuk mencari rezeki.

“Tidak dapat dinafikan adakalanya saya rindu untuk menikmati makanan tradisional etnik saya sendiri,” katanya kepada K2.

Tambahnya, makanan tradisional Bajau Laut seperti putu, sinagol, latok, kima, landak laut dan kinilau antara menu kesukaannya.

Bajau Laut adalah salah satu daripada suku kaum Bajau di Sabah. Bajau merupakan kumpulan etnik kedua terbesar di negeri itu selepas Kadazan Dusun.

Masyarakat Bajau mendiami Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah. Masyarakat Bajau di Pantai Timur Sabah seperti Semporna dan Lahad Datu dikenali sebagai Bajau Laut, manakala masyarakat Bajau di Pantai Barat dikenali sebagai Sama-Bajau.

Kumpulan etnik itu juga kaya dengan menu-menu tradisional yang menjadi makanan utama mereka.

Bercerita mengenai masakan Bajau Laut, K2 baru-baru ini berpeluang menemu bual pemilik restoran Seri Semporna di Kepong, Kuala Lumpur, Azrinah Salleh.

Azrinah, 32, menjelaskan, menu-menu autentik atau tradisional etnik Bajau Laut memiliki keunikannya yang tersendiri.

AZRINAH bersama hidangan-hidangan popular Bajau Laut yang disediakan di restoran Seri Semporna di Kepong, Kuala Lumpur. – AFIQ RAZALI

Dia yang merupakan masyarakat asli Bajau Laut berasal dari Semporna berkata, kebanyakan bahan utama untuk membuat masakan asli Bajau Laut adalah daripada hasil laut.

“Kebanyakan etnik Bajau Laut mendiami kawasan Pantai Timur Sabah yang berdekatan dengan kawasan laut. Jadi, hasil-hasil laut yang segar dijadikan bahan utama masakan kami dan itulah yang membezakan masakan kami dengan masakan lain.

“Apa yang saya dapat simpulkan, penghasilan makanan tradisional Bajau Laut juga tidak terlalu rumit untuk disediakan, begitu juga bahan-bahan tambahan lain yang diperlukan,” terangnya.

Azrinah menegaskan bahawa kebanyakan makanan masyarakat Bajau Laut dimasak dengan tidak menggunakan minyak yang banyak, sebaliknya direbus dan dibakar.

SINAGOL menyerupai gulai.

Antara makanan autentik Bajau Laut yang popular ialah sinagol. Azrinah menjelaskan, sinagol merupakan sejenis makanan yang dihasilkan daripada isi ikan segar.

Menurutnya, makanan ini menyerupai gulai tetapi masakan tersebut tidak menggunakan santan.

“Untuk menghasilkan sinagol, kita boleh menggunakan beberapa jenis ikan seperti ikan buntal, yu dan pari.

“Bahan-bahan lain yang diperlukan untuk menghasilkan sinagol ialah kunyit, serai, bawang dan cili. Masakan dimasak secara kering,” terangnya.

LATOK biasanya dinikmati dengan sos khas dan dimakan sebagai sajian sampingan.

Bercerita mengenai penyediaan sinagol ikan buntal, proses penyediaannya sedikit rumit kerana racun pada ikan itu perlu dibuang terlebih dahulu dan dibersihkan dengan sebaiknya.

Kemudian, ikan itu perlu direbus dan durinya dicabut sebelum dipotong lalu dimasak bersama dengan bahan-bahan lain.

Makanan tradisonal Bajau Laut yang popular juga adalah latok atau rumpai laut berupa seperti anggur. Dedah Azrinah, latok kini turut menjadi menu yang disukai orang Semenanjung.

“Latok ini tidak dimasak sebaliknya dimakan secara mentah dan sering menjadi hidangan sampingan. Rasanya masin sedikit dan lebih enak dimakan bersama sos dibuat khas,” bicaranya.

Tambahnya, latok hidup di kawasan air laut yang bersih dan tidak berombak. Tumbuhan ini banyak didapati di kawasan persisiran pantai.

“Latok memang mudah untuk didapati di kawasan persisiran pantai Semporna dan maka itu tidak hairanlah ia menjadi makanan utama masyarakat Bajau Laut,” jelasnya.

Azrinah berkata, kinilau pula ialah sejenis kerabu yang dihasilkan menggunakan isi ikan.

“Kita boleh guna apa-apa ikan untuk menghasilkan kinilau. Isi ikan tenggiri dan sardin sering digunakan untuk menghasilkan kinilau.

MASAKAN seperti kerabu boleh didapati pada sajian kinilau dan kima.

“Untuk menyediakannya, isi ikan akan dimasak terlebih dahulu bersama cuka dan limau sebelum digaul bersama bahan-bahan lain seperti cili, tomato dan bawang,” terangnya.

Selain itu, kima juga sejenis kerabu yang sering dinikmati masyarakat Bajau Laut. Cuma bezanya dengan kinilau ialah kima menggunakan siput kima sebagai bahan utama.

Berbicara mengenai sajian tradisi Bajau Laut tidak sah jika tidak menyentuh mengenai putu yang dihasilkan daripada ubi kayu.

Menurut Azrinah, dahulu putu sering dijadikan makanan ruji menggantikan nasi.

“Untuk menghasilkan putu, ubi kayu harus diparut terlebih dulu sebelum diperah bagi menghilangkan air.

“Kemudian ubi yang diparut itu akan dikukus sehingga masak. Tekstur putu sedikit kenyal dan melekit tetapi enak dinikmati bersama sinagol, kinilau, kima dan ikan bakar,” katanya.

KEBANYAKAN masyarakat Bajau Laut mendiami kawasan di Pantai Timur Sabah dan lazim menjalani aktiviti kehidupan di sekitar laut.

Tambahnya, mungkin dahulu beras merupakan sesuatu yang sukar didapati di kawasan pantai dan atas sebab itu masyarakat Bajau Laut menghasilkan putu sebagai pengganti nasi.

Masyarakat Bajau Laut juga gemar menikmati ikan bakar. Kebiasaannya ikan bakar di tempat lain diperap dengan rempah khas bagi memberi rasa lebih enak, tetapi masyarakat Bajau Laut langsung tidak membuat sebarang perapan rempah sebaliknya dibakar kosong sahaja. Antara ikan sesuai untuk dibakar termasuklah ikan kandaman, bollong, belawis dan ponggot.

Azrinah menjelaskan, restoran miliknya sememangnya menyajikan menu-menu autentik masyarakat Bajau Laut.

“Kesemua bahan mentah utama kami datangkan khas dari Semporna. Ini membolehkan mereka di Semenanjung merasai makanan autentik Bajau Laut tanpa perlu terbang ke Sabah,” ujarnya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN