fbpx

Bapa lega anak parah di Kaherah dijaga kakak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa rakan menziarahi Muhammad Haikal ketika menerima rawatan di Hospital Bedayat, Hayyu Tahmin, Kaherah baru-baru ini.

SUNGAI PETANI – Keluarga seorang pelajar Malaysia yang parah selepas dirempuh motosikal ketika melintas jalan di Mesir bercadang untuk menyewa rumah lain bagi memudahkan mangsa dijaga rakan dan dua kakaknya.

Ahmad Kabir Wahab, 60, berkata, rempuhan tersebut te­lah menyebabkan tulang pinggul anaknya, Muhammad Haikal, 23, retak dan perlu sentiasa berba­ring dan diberi perhatian untuk membantu urusan sehariannya.

Katanya, sebelum kejadian, anaknya yang merupakan penuntut tahun 1 Pengajian Usuluddin Universiti Al-Azhar menetap di asrama yang disediakan.

“Saya difahamkan tulang pinggulnya turut retak selepas doktor membuat pemeriksaan di Hospital Bedayat, Hayyu Tahmin di Kaherah dua hari lalu. Jika dia tinggal di asrama, tentu menyukarkan urusan hariannya.

“Jadi saya bercadang untuk menyewa sebuah rumah lagi untuk menempatkan tiga anak saya yang kini berada di sana untuk menjaga Haikal,” katanya ketika ditemui di Taman Ria Indah di sini semalam.

Ahmad Kabir menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Haikal.

Sebelum ini, media melapor­kan Muhammad Haikal dirempuh motosikal ketika melintas jalan untuk ke sebuah hospital bagi merawat penyakit kulit yang dihadapinya di Kaherah pada pukul 11 malam Jumaat lalu.

Ketika kejadian, dua kakak­nya, Zaidah Hasanah, 25, dan Zahidah Husna, 26, serta seorang lagi rakan mereka turut dilanggar namun hanya mengalami kece­deraan ringan.

Menurut Ahmad Kabir, dia gembira apabila dimaklumkan keadaan anaknya semakin stabil dan sedang menjalani rawatan susulan di hospital itu.

Tambahnya, dia berasa sedikit lega apabila Zaidah Hasanah dan Zahidah Husna yang menetap di sebuah rumah sewa di Kaherah ada untuk melihat keadaan Muhammad Haikal.

“Zaidah sedang menunggu majlis graduasi yang dijangka pada Disember ini di Al-Azhar, manakala Zahidah sedang meneruskan pengajian talaqqi di beberapa buah masjid di Mesir selepas menamatkan pembelajaran di sebuah universiti di Jordan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Kabir berterima kasih atas keprihatinan orang ramai menghulurkan sumbangan buat anaknya.

“Terima kasih kepada pe­nyumbang kerana bantuan berjumlah EGP100,000 (RM26,000) itu telah membolehkan Muhammad Haikal dibedah dengan segera.

“Tindakan pantas mereka itu sangat mengharukan dan meredakan keresahan saya untuk mencari wang bagi menampung kos pembedahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI