fbpx

Pengasas Big Blue Taxi didakwa rasuah sekali lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsubahrin ketika hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Pengasas Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubahrin Ismail didakwa sekali lagi atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM85,000 di Mahkamah Sesyen hari ini.

Tertuduh, Shamsubahrin, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Terdahulu, pada prosiding itu mahkamah membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan pada 25 Ogos lalu terhadap tertuduh yang hadir ke mahkamah menggunakan kerusi roda.

Mengikut pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM85,000 secara berperingkat daripada seorang lelaki berusia 42 tahun.

Wang tersebut sebagai dorongan bagi menyelesaikan kes individu tersebut di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Bandar Baru Bangi, Bandar Teknologi Kajang dan Bukit Jelutong pada 3, 7 dan 10 Mac lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi sekiranya disabitkan kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM50,000 bersama seorang penjamin serta melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat.

“Selain itu, pihak pendakwaan memohon kes rasuah yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dipindahkan dan disebut bersama kes di mahkamah ini,” jelasnya.

Tertuduh diwakili Peguam Datuk Shaharudin Ali, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi dan Zarina Ismail memohon jaminan dikurangkan dengan tertuduh tidak mempunyai keupayaan atau risiko untuk melarikan diri sama ada menggunakan kapal terbang, sampan dan berenang.

“Anak guam saya mempunyai rawatan lanjut di hospital dengan komplikasi paru-parunya antara 20 hingga 25 peratus selepas dijangkiti Covid-19 sebelum ini,” katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM40,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan dan permohonan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes pada 8 Oktober depan.

Kosmo! 27 Ogos lalu melaporkan Shamsubahrin Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,000, Mac lalu. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI