PONTIAN – Seorang ibu angkat memohon bantuan orang ramai mengesan ibu kandung kepada anaknya yang diserahkan tiga tahun lalu bagi urusan tandatangan Surat Pengizinan Pengangkatan di Pejabat Persuruhjaya Sumpah.
Siti Nahrul Munira Bujang, 36, berkata, ibu kandung kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu, Nurin Qamarina Hafizul, 23, sebelum ini bekerja di sebuah pasar raya di Taman Tiram Baru, Ulu Tiram, Johor Bahru.
Katanya, dia hanya mengenali Nurin Qamarina melalui kawannya pada 2019 yang ingin menyerahkan anaknya ketika itu berusia setahun disebabkan kesempitan hidup yang dialami pada ketika itu.
Menurut Siti Nahrul, anak yang dipelihara itu mengalami sindrom celebral palsy disebabkan pernah melalui pembedahan dibahagian kepala disebabkan berlaku jangkitan kuman.
“Surat Pengizinan Pengangkatan ini penting bagi saya untuk memelihara anak ini secara sah dan juga membolehkan untuk mendapat kad Orang Kelainan Upaya (OKU),”katanya kepada ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tambahnya, mengikut cerita bekas rakan-rakan sekerjanya di Ulu Tiram, Nurin Qamarina telah pulang ke Pahang dan alamat di kad pengenalannya, di No 817, Jl 7, Park Pulau Serai, Taman Peramu Jaya, Pekan, Pahang.
“Saya amat memerlukannya untuk datang ke Pontian dengan kadar segera bagi menyelesaikan masalah yang telah tertangguh ini selama setahun disebabkan gagal untuk menghubunginya,” ujarnya yang bertugas di sebuah sekolah disini.
Kata Siti Nahrul, dia juga mempunyai seorang anak angkat perempuan yang berusia enam tahun yang diambil sejak dari lahir tanpa sebarang masalah sepertimana yang terpaksa dialami ketika ini.
Orang ramai yang mengetahui di mana Nurin Qamarina Hafizul berada boleh menghubungi Siti Nahrul Munira Bujang di talian 013-3065089.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929