fbpx

Alyph jadi ‘nakal’ sebab Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALYPH

“KALAU berseorangan, saya adalah pengkritik terhebat diri sendiri.”

Itu jawapan pemuzik berbakat besar kelahiran Singapura, Alyph kepada HibGlam apabila ditebak dengan pertanyaan antara membikin muzik secara berseorangan atau bersama orang lain, mana satu yang lebih mencabar.

Alyph, 32, berkata, pada waktu pandemik disebabkan virus Covid-19 sekarang, memang tidak dapat dinafikan bahawa halangan bersua muka dengan rakan-rakan yang berkongsi minat sama iaitu muzik boleh merencatkan inspirasi dan naratif muzik seseorang.

BUNYIAN yang dipaparkan dalam projek III/III merupakan hasil kerja keras Alyph mempertajamkan kemahiran serta tidak menghiraukan ekspektasi orang lain terhadap dirinya iaitu sebagai seorang bintang rap, penyanyi dan komposer. – Foto IHSAN UNIVERSAL MUSIC

Kerja seorang, tiada kolaborasi

Biarpun merindui ‘zaman’ pra-pandemik, dia tetap bersyukur dapat merealisasikan dan berkongsi buah tangan baharu bersama peminat dalam bentuk EP berjudul III/III yang memuatkan tiga buah lagu.

Tiga buah karya yang dimaksudkan adalah lagu berjudul Adakah Kau Mendengar, Skali Lagi dan Show Me Colours.

“Kerja secara berseorangan, banyak perkara boleh timbul. Kadang-kadang ada suara dalam kepala yang meragui apa yang telah kita kerjakan atau hasilkan.

“Kita buat muzik untuk tak nak pendengar berasa hampa dan persoalkan mengapa buat begini dan begitu. Tetapi memang akan berdepan semua suara itu terutama kalau bekerja solo.

“Dalam tempoh pandemik saya rasa buat pertama kali untuk jangka waktu terpanjang, saya tidak bertemu orang lain langsung. Memang sangat-sangat sukar kerana selama ini saya selalu bikin projek kolaborasi dengan orang lain,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Alyph, disebabkan bekerja berseorangan gara-gara pandemik, dia cenderung untuk mengutamakan kesempurnaan walaupun ada antara karyanya sudah pun bertemu atau ‘berjabat tangan’ dengan peminat.

“Saya pun tak tahu. Tetapi, ada beberapa perkara yang ingin saya ubah dalam karya yang sudah dilancarkan. Ada video yang sudah selesa berada dalam YouTube, saya nak turunkan.

“Ada muzik yang saya nak tambah ‘adlips’ dan kurangkan banyak benda, tapi tak sempat. Susah nak terangkan tapi apa yang saya boleh katakan, ini adalah perkara yang akan selalu datang dalam fikiran dan tak pernah tamat. Apa pun, saya dah semakin bagus menanganinya,” ujarnya yang bersyukur akhirnya dapat menyiapkan projek tersebut.

DALAM single terbaharu berjudul Skali Lagi, Alyph menggambarkan kepayahan mencari jalan keluar dari kegelapan. Tentang bagaimana mudahnya berada dalam keadaan yang membahayakan diri, walaupun hanya seketika untuk melupakan duka dan lara.

Motivasi, inspirasi terganggu

Sebagai seorang pemuzik, sudah tentu segala kebobrokan yang berlaku kepada dunia terutama dibadai virus Covid-19 menyebabkan inspirasi dan motivasi sedikit terganggu. Itu diakui sendiri Alyph.

Tuturnya, pandemik membuatkan dia lebih mengenali siapa dirinya yang sebenar. Kalau sebelum ini semuanya seperti terlepas pandang, sekarang semua manusia termasuk dirinya lebih mempunyai masa untuk melakukan refleksi diri.

“Pra-pandemik, ada banyak ‘gangguan’ dalam kehidupan kita semua dan saya sendiri mengakui hal itu dalam hidup saya. Dahulu nak buat itu ini, tiada halangan.

“Kita sangat seronok dan tiada kekangan, malah kurang ambil kisah tentang diri sendiri. Tapi sekarang sejak hidup bersama pandemik, duduk di rumah dan sebagainya, semua perkara kita mula nampak dan sedari.

“Dahulu tak sampai tahap duduk rumah sampai penat, tonton televisyen sehingga bosan dan kita tak pernah rasa bosan buat benda yang suka tapi sekarang, semua itu sudah terbiasa.

“Minda saya jadi nakal sekarang ini (pada waktu pandemik Covid-19). Suka fikir tentang banyak hal dan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Kalau tiada kerja nak buat, otak akan cenderung fikir pasal benda dah lepas dan apa akan jadi pada masa depan.

“Sedangkan sebelum pandemik, kita tiada masa nak fikir semua itu. Dahulu fikir misalnya nak ke Sabah tengok keadaan di sana bagaimana dan perihal seperti itu. Berseronok dan betullah, sekarang ini disebabkan Covid-19, beri kesan kepada motivasi dan inspirasi saya untuk membikin muzik,” katanya panjang lebar.

Pun begitu, akur Alyph atau nama lengkapnya, Muhammad Alif Abdullah, dia membenarkan pernyataan bahawa Covid-19 juga membuat ramai orang lebih berdamai dengan jalan hidup dan mula menjalaninya secara lebih tenteram.

“Saya sedar yang selama ini motivasi dan inspirasi saya datang dari dalam diri. Budak dalam diri ini yang tak takut apa-apa dan berani dalam segala hal, dialah yang ‘anchor’ segala proses kreatif pemuzik bernama Alyph selama ini,” luahnya penuh mendalam.

ERA III/III merupakan metamorfosis sebenar buat Alyph sebagai seorang pemuzik yang ingin melupakan masa lalu dan mara jauh ke masa depan yang lebih meyakinkan.

Rindu Allahyarham ibu

Lima tahun selepas pemergian ibunya, Allahyarham Maria Salim, Alyph turut berkongsi satu perkara yang bersifat peribadi buat dirinya. Dia mengakui masih sukar untuk menerima kenyataan bahawa ibunya yang tercinta sudah tiada dalam dunia ini.

“Sebelum pandemik, kita kurang menjadi diri kita kalau dibanding waktu sekarang. Sekarang ini disebabkan Covid-19, betapa kusut, gembira atau sukar sesuatu keadaan, kita lebih menjadi diri sebenar. Pendek kata, kita lebih mengenali diri sendiri.

“Kita tak selalu tengok benda yang terlepas pandang sebelum pandemik. Saya boleh beri satu contoh untuk meringkaskan perkara ini. Apabila arwah ibu meninggal dunia pada 2016, sukar untuk saya terima kenyataan bahawa dia sudah tiada.

“Sekarang apabila tiada kerja nak buat, kita cenderung untuk ingat balik perkara lama. Suatu ketika, saya ingat saya kuat dan sudah terima hakikat serta lupakan segalanya,” katanya.

Getus Alyph, walaupun dibelenggu masalah pandemik, baginya, banyak perkara yang dipelajari tentang diri sendiri sepanjang tempoh yang berlalu.

“Itu (tentang kematian ibu) hanyalah satu kepingan masalah daripada keseluruhan yang saya hadapi. Saya hanya nak beritahu apa sebenarnya yang sedang dirasai sekarang,” katanya menggulung perbualan.

MUNCUL dengan album EP terbaharu berjudul III/III, Alyph mendedahkan pandemik Covid-19 menjadikan dia lebih berdamai dengan jalan hidupnya yang tidak terkecuali daripada terpalit perihal kusut.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI