fbpx

Peluang kedua buat Nor Amira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Amira diberi peluang kedua selepas diikat jamin RM2,000.

Sehari dua ini hangat diperkatakan mengenai seorang ibu muda dari Perlis yang didakwa mencuri tabung kayu sebuah masjid di Padang Besar.

Kejadian yang berlaku ke atas wanita berusia 28 tahun itu mula mendapat perhatian selepas dia dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan mencuri. Mengikut kertas pertuduhan, di dalam tabung itu ada duit RM40.

Bagi kesalahan itu, Nor Amira Roslan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Nor Amira yang ditahan di rumahnya di Arau, Perlis mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,000. Bayaran wang ikat jamin dilunaskan oleh orang awam yang membantu wanita tersebut.

Apabila berita ini disiarkan, maka ramailah yang mengecam menuduh pihak berkuasa dan masjid kononnya menganiaya dan tiada belas ihsan terhadap ibu kepada anak lelaki berusia empat tahun itu.

Lebih-lebih wang di dalam tabung pula tidak sampai RM50. Tidak terkecuali, turut dipersalahkan komuniti setempat kerana tidak membantu dan cakna dengan orang di sekeliling.

Tidak dinafikan pada musim pandemik Covid-19 ini, ramai yang mudah terasa, lebih-lebih lagi apabila kejadian melibatkan golongan bawahan atau mereka yang memerlukan.

Kita mudah berasa kasihan. Simpati dan empati. Itulah sikap yang masih menebal dalam kalangan rakyat Malaysia. Memang pun sikap itu wajar dipuji.

Yang tidak molek adalah menuding jari membuat andaian dan tuduhan secara membabi buta sedangkan si ibu ini baru sahaja dihadapkan ke mahkamah, belum pun kes dibicarakan.

Bukan semua bertindak kejam. Sebelum ini, Polis Daerah Petaling Jaya pernah membantu seorang suri rumah yang ditahan kerana gagal membayar barang makanan dan ubatan bernilai RM58 di sebuah pasar raya di daerah itu.

Anggota polis di Pulau Pinang juga pernah tular kerana membantu seorang lelaki yang dikatakan terdesak mencuri dua buku roti di sebuah pasar raya untuk diberikan kepada anaknya yang kelaparan.

Dalam kes Nor Amira, pihak berkaitan sudah tampil menjelaskan keadaan yang sebenar, malah wanita itu sendiri pun sudah mengakui telah menyesal atas perbuatannya dan berjanji untuk berubah dan memulakan buku baharu.

Wanita itu juga telah pun memohon maaf atas kesilapannya kerana mengecewakan ramai pihak.

Nor Amira perlu dibantu dan dibimbing. Bukan hanya material seperti wang tunai atau ditawarkan pekerjaan tetapi psikologi serta pemulihan sekiranya benar terlibat dalam aktiviti pengambilan bahan terlarang.

Wanita ini memerlukan sokongan dan pemantauan daripada individu yang berada di sekelilingnya.

Kepada Nor Amira gunakan peluang “pembebasan sementara” dengan sebaik mungkin.

Buat pembaca Kosmo! di luar sana pula memberi pandangan tidak salah, namun jangan sampai menghalalkan perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN