fbpx
CAPRICE kini difahamkan sedang dalam penerbangan pulang ke Malaysia.

Caprice balik Malaysia hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Selepas lebih dua bulan berada di Mesir bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan Caprice akhirnya berangkat pulang ke Malaysia hari ini.

Perkara berkenaan dikongsikan penyanyi rap berkenaan menerusi saluran Telegram miliknya, MudaUmmah: Welcome To Caprice’s Personal Telegram, tengah malam tadi.

“Salam Malaysia! Alhamdulillah setelah dua bulan setengah, mungkin pengembaraan paling gila sejauh ini, akhirnya saya akan pulang ke Malaysia esok (hari ini).

“Saya minta maaf atas kelewatan, saya memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan bahagian tertentu dalam misi saya,” katanya.

Pemilik nama sebenar Ariz Ramli, 33, itu bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai penerbangan mahu pun ketibaannya nanti.

Dia sebaliknya hanya memaklumkan berkenaan kiriman barang-barang tempahan orang ramai.

Katanya, sebaik tiba di tanah air dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 termasuk kuarantin, barulah dia akan meneruskan aktiviti perniagaan yang lama tertangguh.

Caprice menjangka bakal menjalani kuarantin selama 10 hari, sekali gus urusan penghantaran tempahan barangan seperti jaket hoodies, tasbih dan buah tangan hanya dapat dilakukan selepas 18 September ini.

“Hoodies Koyak Ke Bro Edisi Terhad hampir siap, tetapi malangnya saya sekarang mengendalikannya sendiri kerana kakitangan lama yang mengambil pesanan dan penghantaran tidak lagi dengan saya,” kongsinya lagi.

Pada masa sama, penceramah bebas merangkap usahawan itu turut memohon maaf berikutan kelewatan urusan berkenaan disebabkan agak lama meninggalkan perniagaannya itu.

Tinjauan Kosmo! Online menerusi Instagramnya, Caprice dilihat memuat naik status  terakhir sekitar pukul 5 pagi waktu tempatan dalam InstaStory berbunyi, ‘Good bye and good night, see you in  Disember’, berlatarkan pemandangan malam dihiasi lampa-lampu.

Sebelum ini, dia pernah mendedahkan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 4 Julai lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan.

Terdahulu, penyanyi rap yang juga aktivis kemanusiaan itu tiba di Mesir pada 24 Jun bagi menyertai misi bantuan ke Gaza sebelum meneruskan penggembaraan solo ke Jordan kerana isu yang tidak dijelaskan secara terperinci.

Biarpun tidak dapat memasuki Palestin, Caprice tetap enggan pulang ke Malaysia malah meneruskan pelbagai aktiviti meluaskan jaringan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaaan di Mesir dan Jordan sepanjang bergerak solo.

Selain soal birokrasi dan kegagalan memasuki Palestin, nama Caprie turut memanaskan apabila diminta memberi keterangan kepada polis berhubung isu fitnah dan kes gangguan seksual melibatkan penceramah terkenal, Ebit Lew. – K! ONLINE

POPULAR