fbpx

5,164 individu walk-in terima vaksin Covid-19 di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seramai 5,164 penduduk di Kelantan hadir menerima suntikan vaksin Covid-19 secara perkhidmatan daftar terus (walk-in) sejak kaedah itu dilaksanakan di 21 pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini bermula semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kebenaran pemberian vaksin secara walk-in diputuskan pada mesyuarat Sabtu lalu selepas mengambil kira data pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menerusi MySejahtera dan bekalan vaksin negeri itu.

Katanya, berdasarkan jumlah penerima semalam, ia menunjukkan sambutan daripada penduduk amat menggalakkan.

“JKNK melaksanakan langkah ini apabila menerima bekalan vaksin sebanyak 1.2 juta dos daripada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Kebangsaan pada Ogos lalu dan dijangka 1.2 juta lagi pada bulan ini.

“Bekalan vaksin tiba secara berkala iaitu seminggu sekali dan ia akan mencukupi. Kita juga boleh melaksanakan suntikan antara 32,000 hingga 35,000 dos sehari dengan sasaran seramai 10,750 menerusi kaedah walk-in.

“Jika jumlah penerima secara berterusan bertambah, kita jangka Kelantan dapat mencapai imuniti kelompok atau suntikan vaksin 80 peratus pada 30 September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darulnaim di sini hari ini. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI