BAGI memberikan imej lebih baik, pengurusan sebuah rumah mayat di Surabaya, Indonesia membina bangunan besar yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.
Menurut pengurusan rumah mayat yang diberi nama Grand Heaven itu, , pemakaman ini dikatakan ‘destinasi terakhir’ paling mewah dan eksklusif bertaraf tujuh bintang.
Sebelum ini, rumah mayat untuk orang meninggal dunia sering kali dilihat kelam, gelap, menyeramkan, serta kotor . Ia pastinya tidak begitu selesa terutamanya buat waris yang hadir memberikan penghormatan terakhir.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
SEKALI pandang, bangunan besar yang tersergam indah dengan tulisan Grand Heaven di atasnya itu kelihatan tidak ubah seperti hotel lima bintang yang cukup eksklusif.
Ada yang mendakwa bangunan tersebut menyerupai binaan dalam siri drama popular Korea Selatan pada tahun 2019 berjudul Hotel del Luna iaitu sebuah hotel mistik yang kesemua pelanggannya terdiri daripada hantu.
Bagaimanapun, bangunan yang terletak di Desa Ketegan Daerah Sidoarjo dekat Surabaya, Indonesia ini sebenarnya merupakan sebuah rumah mayat eksklusif dan disifatkan sebagai rumah mayat terbesar di Jawa Timur.
Biarpun kedengaran menyeramkan, namun hotel ini dikatakan pilihan golongan atasan untuk dijadikan tapak persinggahan terakhir buat ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia supaya si mati dapat pergi dengan tenang dan selesa.
Menurut masyarakat di Indonesia, pemakaman ini dikatakan ‘destinasi terakhir’ paling mewah dan eksklusif bertaraf tujuh bintang. Maka, tidak hairanlah jika bangunan persemadian abu mayat, tempat memberikan penghormatan terakhir dan pengurusan jenazah ini hangat diperkatakan masyarakat dunia.

Sesetengah mayat pula diuruskan di sini penuh ‘gilang-gemilang’ sebelum dibawa ke tanah perkuburan berhampiran di Surabaya.
Dikenali sebagai hotel mayat atau rumah duka, Grand Heaven baru-baru ini tular apabila diuar-uarkan sebagai tempat persinggahan terakhir eksklusif lengkap dengan mesin pengeluaran wang, kafeteria, ruang istirahat dan penginapan buat si mati dan waris-waris.
Menerusi portal rasmi rumah mayat tersebut, Grand Heaven diasaskan oleh Bapak Suwito Muliadi yang bertujuan menyediakan layanan terbaik kepada masyarakat khususnya bagi mereka yang sedang berduka.
Biarpun baru diketahui ramai, rumah ini sebenarnya telah dibuka kepada umum sejak Februari 2018 lagi.
“Dahulu rumah duka untuk si mati sering kali dilihat gelap, menyeramkan, tidak bersih dan dibina pada bangunan uzur. Ia pastinya tidak begitu selesa. Atas kepedulian itulah rumah ini didirikan lengkap dengan pelbagai kemudahan bertaraf antarabangsa untuk keselesaan umum,” jelas portal tersebut.

Mengetengahkan konsep bangunan klasik, Grand Heaven yang dibangunkan oleh kontraktor ternama, PT Tata Bumi Raya ini mempunyai 60 buah bilik mayat meliputi tiga kategori iaitu Presiden Suite Room, VVIP Room dan Suite Room.
Menurut laporan akurat.co, Presiden Suite Room dilengkapi bilik tidur, set dapur, bilik mandi, ruang tamu dan televisyen yang disewakan pada harga 100 juta rupiah (RM29,130) untuk satu malam. Hotel ini juga boleh diinap oleh waris bagi memastikan si keluarga yang sedang berduka mampu berehat sekali gus menenangkan diri.
Selain mempunyai Heaven Memorial Park berkonsepkan Pergunungan Guilin, China, mayat-mayat yang dihantar ke Grand Heaven turut diberikan pakej urutan.
Biarpun eksklusif dan mewah, namun kemudahan-kemudahan yang disediakan di bangunan tersebut dianggap mampu milik.

Fasiliti rumah duka ini ditawarkan pada harga bermula 26 rupiah (RM7,573) hingga 100 juta rupiah (RM29,130) termasuk dengan peti duka, penjemputan jenazah dan penggunaan ruang penghormatan selama tiga hari.
Sementara itu, pengelola Grand Heaven, Suwito Muliadi berkata, kewujudan rumah duka tersebut sekurang-kurangnya dapat memberi keselesaan kepada waris-waris yang datang jauh untuk menziarahi jenazah.
“Kami mampu meringankan beban mereka dan tidak perlu bersusah-susah mencari hotel kerana di sini turut disediakan ruang untuk menginap,” tambahnya.














